Wanita Isma Kuantan: ‘Iddah dan berkabung bukti Islam lengkap dan teliti
Oleh Hazwani Liana Abbas
KUANTAN, 25 Dis. – “Pensyariatan ‘iddah dan berkabung adalah bukti lengkap dan telitinya Islam dalam menangani permasalahan hidup manusia,” ujar Ketua Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Cawangan Kuantan, Ustazah Norhayati Ahmad Salleh ketika menyampaikan pengisian di program Usrah Wanita di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, Islam bukan hanya memelihara kebajikan dan hak-hak wanita dalam tempoh perkahwinan bahkan ia berterusan sehingga terbubarnya perkahwinan sama ada melalui penceraian hidup atau pun penceraian kerana kematian suami.
“Masyarakat perlu mengambil tahu seruan ini agar sama-sama dapat melaksanakannya tanpa alasan.
“Ini kerana, pengetahuan yang cetek mengenai Islam adalah antara sebab masyarakat menjalani kehidupan sewenang-wenangnya mengikut haluan mereka sendiri.
“Disamping itu, wanita yang berada dalam tempoh ‘iddah juga amat memerlukan sokongan yang baik dari persekitaran dalam melunaskan kewajipan yang telah digariskan oleh syariat,” jelas beliau lagi.
Tambah beliau, antara perkara yang digariskan sewaktu ‘iddah ialah tidak berhias, menjaga kehormatan dan maruah diri serta tinggal di rumah yang diduduki bersama bekas suami.
Justeru tegas beliau, sebagai hamba yang beriman kita wajib patuh dan taat kepada tuntutan tersebut tanpa keluh kesah bahkan dapat menghayati dan menghormati situasi ini bagi mengelakkan fitnah dan tohmahan yang kurang menyenangkan.
Usrah Wanita yang dijalankan secara mingguan ini telah membincangkan topik ini dengan mendalam selama dua jam yang bermula dari jam 9 sehingga 11 pagi di Surau Ar-Ridhuan, Permatang Badak.
Selain Usrah Wanita yang diadakan secara mingguan, Seminar Fiqh Wanita (SFW) juga dijalankan oleh Wanita Isma Kuantan pada setiap tahun bagi membimbing masyarakat dengan ilmu kefahaman yang lebih luas dan kukuh terutama di kalangan para wanita.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan