Xifu Naser terkhilaf istinbat hukum tutup keaiban: Ketua Penerangan Isma

Islam elak lapor khalwatOleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

BANGI, Selasa – Ketua Penerangan Isma, Ustaz Mohd Hazizi Ab Rahman menasihati pendakwah bebas, Ustaz Abdul Naser Abdul Rahman yang lebih dikenali dengan nama Xifu Naser agar lebih berhati-hati dalam memilih dalil.

Ketika mengulas tulisan Xifu Naser yang disiarkan di Sinar Harian bertajuk ‘Islam elak lapor khalwat’ hari ini, Ustaz Hazizi berkata pendakwah Cina muslim itu telah terkhilaf dalam mengistinbat hukum tutup keaiban.

“Tutup keaiban ialah bagi mereka yang insaf akan kesalahan mereka. Itulah yang berlaku dalam hadith yang beliau bawa mengenai keengganan Rasulullah SAW (pada awalnya) untuk ambil peduli akan aduan seorang wanita yang mengaku berzina.

“Wanita itu jelas mengaku dan minta dihukum, yang menunjukkan bahawa dia insaf dan mahu bertaubat membersihkan diri dengan meminta Rasulullah menghukumnya.

“Adapun kemungkaran yang dilakukan, seperti khalwat, hendaklah dicegah dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa seperti yang dianjurkan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Daripada Abu Sa’id Al Khudri RA berkata: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda : Siapa yang melihat kemungkaran maka ubahlah dengan tangannya, jika tidak mampu maka dengan lisannya, jika tidak mampu maka dengan hatinya, dan yang demikian itu (cegah dengan hati) adalah selemah-lemah iman,” katanya dalam satu kenyataan di laman web rasmi Isma www.isma.org.my.

Dalam tulisannya yang disiarkan di akhbar Sinar Harian dan Sinar Online hari ini, Xifu Naser menjelaskan syariah lebih condong kepada mencipta satu budaya elak melaporkan kes-kes zina atau khalwat kepada pihak berautoriti sebagaimana Nabi SAW mengelak daripada mendengar pengakuan zina.

“Hak Menutup Keaiban ini diberi atas sifat rahmat Islam. Manusia dicipta dalam keadaan lemah. Manusia bukan malaikat.

“Maknanya reaksi pertama ialah kita tidak laporkan atau besarkan isu khalwat kawan kita. Kita tutup keaibannya. Reaksi pertama Nabi SAW ialah elak dengar pengakuan khalwat,” tulisnya.

Jelas Ustaz Hazizi lagi, larangan mengintip sepatutnya tidak dikelirukan dengan larangan membuka keaiban, apatah lagi dengan kewajiban mencegah kemungkaran.

“Setiap satu daripada tiga hukum itu mempunyai dalilnya yang tersendiri dan dalam konteksnya yang berbeza-beza. Jangan dicampur aduk.

“Diharapkan agar Xifu berhati-hati dalam memilih dalil untuk dijadikan sandaran pendapatnya. Disiplin istinbat hukum seperti yang dipelajari secara terperinci dalam ilmu Usul Fekah mesti dipatuhi dengan cermat.

“Jika tidak, masyarakat awam akan mendapat kefahaman yang salah,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?