Demokrasi hanya amalan ketika pilihan raya
Rakyat tetap rakyat. Walaupun ada berjuta suara tetapi ia tidak berkuasa mengubah satu suara. Benar, Malaysia sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Tetapi, ia bukan untuk semua aspek dan mungkin sekadar pada pilihan raya sahaja.
Janggal juga kalau ia masih disebut ‘demokrasi’. Banyak isu yang disuarakan rakyat kepada kerajaan namun kebanyakan keputusannya gagal berpihak kepada rakyat. Malah, ditambah beban dan hentaman lagi terhadap golongan marhaen ini.
Pelik juga bila kerajaan kerap mengulangi ayat keprihatinan mereka terhadap nasib rakyat. Adakah itu benar prihatin, atau sekadar polimik untuk menyedapkan ucapan mereka?
Apakah kita sebagai rakyat ini yang gagal membawa suara keluhan kita kepada kerajaan? Atau mungkin kerajaan yang sengaja gagalkan diri mereka untuk faham situasi rakyat?
Perhimpunan aman yang disertai rakyat bererti kita benar-benar terdesak dan mendesak kerajaan supaya membuat keputusan dengan membawa keadaan rakyat.
Masakan ribuan rakyat sanggup berhimpun di tengah panas dan hujan hanya semata-mata keseronokan. Ia merupakan usaha supaya kerajaan lihat, dengar dan faham apa yang kita mahukan.
Daripada satu keluhan kepada satu keluhan, namun hasilnya sama sahaja. Jutaan suara itu ditanam terus ke dalam tanah supaya tidak didengari. Bermula dengan ‘idea’ untuk diwujudkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat sebanyak 6 peratus.
Resah dibuatnya dengan beban cadangan itu. Siang malam menghitung bebanan kewangan yang terpaksa disalurkan kepada GST itu. Membayar kadar GST tidak bermakna rakyat terima dan reda.
Mungkin golongan atasan merasakan kadar 6 peratus itu tidak menjadi masalah buat mereka, tetapi untuk golongan pertengahan dan bawahan, kadar itu umpama sebiji bongkah batu menghempap di belakang mereka.
Di mana kerajaan untuk rasa berat bongkah itu? Tempoh sebelum ia dikuatkuasakan, rakyat tidak berhenti usaha supaya kerajaan membatalkan perlaksanaannya, namun gagal. Hampir setahun GST dilaksanakan, kerajaan seakan berbangga dengan hasil kutipan cukai itu, sedangkan rakyat terus memikul ‘bongkah batu’ untuk tempoh yang panjang.
Ini tidak termasuk dengan kenaikan kadar tol dan harga tambang bagi perkhidmatan awam. Tambah pula dengan kejatuhan nilai ringgit dan keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
Apabila perkara itu terus dikeluhkan rakyat, yang mengharapkan tindakan kerajaan tetapi sebaliknya berlaku, apabila satu persatu cadangan dan idea ‘cerdik’ yang disuarakan oleh mereka.
Terkini, apabila Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) diputuskan untuk ditandatangan oleh Malaysia pada 4 Februari ini.
Satu lagi perkara yang meresahkan rakyat apabila perjanjian perdagangan bebas itu akan memonopoli perolehan kerajaan dan pasaran negara selepas ia dibuka kepada syarikat asing tanpa kawalan.
Keadaan hari ini sudah menyakitkan buat rakyat, apatah lagi untuk generasi yang akan datang. Sepatutnya pemimpin perlu hentikan ego untuk kepentingan peribadi dan politik. Apabila isu rakyat dijadikan bahan politik yang tidak langsung memberikan keuntungan kepada rakyat.
Sebaliknya, rakyat terpaksa menonton dan mendengar lakonan drama pemimpin, ahli politik dan wakil rakyat yang hanya berkepentingan peribadi sahaja.
Wartawan Ismaweb
Athirah Huda Zalhe
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana. Ia juga tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan