(DIKEMASKINI) Sultan, Jemaah Pemangku murka, EXCO dan kumpulan desak kena mohon ampun: Mukhriz

mukhriz (1)

ALOR SETAR, Ahad – Sultan Kedah dan Jemaah Pemangku Sultan tersinggung dan murka dengan tindakan kumpulan pendesak yang mencetuskan ‘kekacauan’ politik di negeri itu, serta kegagalan enam Ahli EXCO menghadiri mesyuarat mingguan pentadbiran, minggu lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata dimaklumkan bahawa Duli Tuanku Sultan dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.

“Yang lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintah ketika mengangkat sumpah jawatan masing-masing,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Beliau berkata, pada ketika rakyat Kedah gembira meraikan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah ke-88, sekumpulan pemimpin UMNO negeri bertindak mendesak beliau berundur daripada jawatan Menteri Besar.

“Tindakan 12 Ketua Bahagian dan dua Timbalan Ketua Bahagian mengheret sama ketua-ketua sayap dan pemimpin muda dalam UMNO mengadakan sidang media di Alor Setar pada 20 Januari 2016 lalu adalah tidak bertanggungjawab.

“Malah sebilangan yang hadir pada sidang media tersebut telah maklum kepada saya bahawa mereka tidak mengetahui terlebih dahulu tujuan dan intipati kenyataan yang dibuat. Saya percaya desakan mereka tidak mewakili suara majoriti ahli UMNO dan yang lebih penting lagi, kehendak rakyat Negeri Kedah,” katanya.

Beliau berkata, perbuatan kumpulan itu telah mencemar pelbagai acara sambutan keputeraan Sultan Kedah.

“Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah dan Menteri Besar, saya telah menerima khabar sesungguhnya Duli Tuanku Sultan dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah tersinggung dengan perbuatan kumpulan tersebut.

“Yang lebih dikesali apabila tindakan itu disertai beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah yang sudah berikrar taat setia kepada Raja Pemerintah ketika mengangkat sumpah jawatan masing-masing.

“Turut mendukacitakan, rentetan dari sidang media tersebut, enam daripada sembilan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak menghadiri Mesyuarat EXCO Kerajaan Negeri Kedah pada hari Rabu, 27 Januari 2016 yang lalu. Ini jelas sekali menyalahi peraturan pelantikan mereka sebagai Penjawat Awam dan ingkar dengan sumpah jawatan yang diangkat di hadapan Raja Pemerintah, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah,” katanya.

Mukhriz berkata, sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, keengganan menghadiri mesyuarat EXCO menjejaskan proses pentadbiran dan perancangan yang telah diatur oleh Kerajaan Negeri dalam melaksanakan program dan aktiviti pembangunan untuk rakyat di negeri ini.

“Saya dimaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan turut murka dengan keingkaran Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berkenaan.

“Selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, saya dengan rasa rendah diri memohon ampun kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah dan Yang Teramat Mulia Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah di atas perbuatan segelintir ahli UMNO yang telah mencemari kemuliaan Duli Tuanku Sultan dan kemeriahan majlis sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah,” katanya.

Sehubungan itu, Mukhriz mendesak semua 14 Ketua UMNO Bahagian yang terbabit secara langsung mahupun tidak dengan sidang media pada 20 Januari 2016 lalu, dan enam orang Ahli EXCO berkenaan segera memohon maaf secara rasmi kepada Sultan dan Ahli-Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

“Sehingga kemelut ini selesai, semestinya setiap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Udangan Negeri melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Raja Pemerintah dan rakyat baginda, seperti yang termaktub di dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?