Ekspo Ratu Antarabangsa: Melaka sudah jauh ketinggalan
BERITA tentang persetujuan Ketua Menteri Melaka untuk membenarkan pertandingan Ratu Cantik Antarabangsa diadakan di negeri Melaka masih hangat diperkatakan, khususnya di media-media sosial. Ramai pihak, khususnya umat Islam bertubi-tubi “menghentam”, mengkritik dan menegur beliau dengan pelbagai alasan.
Saya mohon berbeza pandangan sedikit dalam hal ini. Saya minta beliau dikasihani. Saya juga minta beliau difahami.
Bukan apa, kerana negeri warisan Hang Tuah dan kota A Famosa sudah jauh ketinggalan berbanding negeri dan negara lain dari segi penganjuran pertandingan Ratu Cantik. Apa yang Ketua Menteri Melaka cuba buat adalah untuk kemakmuran dan kemajuan negeri Melaka juga.
Oleh itu, mari kita cuba periksa bagaimana negeri Melaka sudah jauh ketinggalan …
1. Pada bulan Ogos 2012, satu pertandingan Ratu Cantik Lembu Susu telah diadakan di Shuozhou dalam Wilayah Shanxi, negara China.
2. Menurut Bernama bertarikh 11 Disember 2014, kerajaan Terengganu akan memperkenalkan Peraduan Lembu Paling Cantik” untuk memberi nilai tambah kepada lembu-lembu dan menggalakkan para penternak supaya lebih serius dalam perniagaan lembu.
3. Pertandingan Ayam Serama pernah popular satu masa dahulu di beberapa kawasan pedalaman di Malaysia.
4. Sebuah pekan bernama Lents yang terletak di timur Portland, Oregon, Amerika sejak beberapa lama telah menganjurkan Lents Parade & Street Fair, yang di antara acara menariknya adalah Peraduan Ayam Cantik.
5. Sebuah negara di Timur Tengah juga pernah mengadakan pertandingan yang para pesertanya terdiri daripada unta.
Tidak ada satupun negeri/negara ini menganjurkan pertandingan yang melibatkan DNA (Daging “N” Aset) kaum Hawa.
Satu pemerhatian yang menarik ialah para peserta di dalam pertandingan-pertandingan di atas TIDAK dinilai atau diadili melalui pandangan mereka tentang pemanasan global, kejatuhan nilai matawang, penyusuan berselfie, pencemaran dari bauksit atau penajaan pasukan bolasepak oleh pengeluar produk-produk kesihatan.
Mereka juga tidak diuji dengan soalan-soalan yang mencabar minda, atau diminta memperagakan DNA masing-masing di tepi kolam renang atau mempamerkan DNA mereka di majlis makan malam.
Satu yang pasti, DNA mereka tidak diukur di bahagian-bahagian dada, perut dan punggung.
Di dalam SEMUA pertandingan ini, tidak ada nafsu yang digelorakan, suami atau lelaki yang digoda, iman yang digoncang hebat, mata yang terbeliak atau mulut yang melopong.
Tidak ada penajaan dari syarikat-syarikat kosmetik, butik-butik pakaian mahupun organisasi korporat ternama.
Melalui penganjuran pertandingan-pertandingan seumpama ini, kos yang terlibat dapat dikurangkan dengan begitu banyak, sekaligus menepati hasrat yang ingin dicapai oleh Ketua Menteri Melaka iaitu memakmurkan negeri dari segi ekonomi.
Mana tahu, Ketua Menteri Melaka dapat menjana pendapatan hampir RM 2.6 Billion hasil jualan tiket, penajaan dan Pulangan Modal (Return Of Investment) hasil daripada penganjuran Ratu Cantik Antarabangsa (RCA) ini.
Saya juga ingin mencadangkan supaya Ketua Menteri Melaka menjemput orang-orang kuat SIS dan G25 sebagai panel hakim.
Ini kerana mereka tidak bersuara lantang menentang penganjuran Ratu Cantik Antarabangsa ini. Oleh kerana penganjuran pertandingan seumpama ini tidak mendapat bantahan dari kumpulan ini yang sering memperjuangkan hak-hak wanita dan hak-hak asasi, sudah tentu tidak akan menjadi masalah bagi mereka untuk mengadili dan bersetuju dengan hak-hak lembu, ayam, unta dan sebagainya untuk memperagakan DNA masing-masing.
Sekiranya menayangkan lurah, lekuk, lembah dan potongan DNA wanita bukanlah suatu kesalahan dan tidak mencemarkan maruah serta bukan satu eksploitasi terhadap mereka, sudah tentu ia juga bukanlah satu aksi yang salah, mencemarkan maruah atau eksploitasi terhadap lembu, ayam dan unta.
Dengan menjadi panel hakim kepada pertandingan ini, SIS dan G25 dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka tidak selektif, prejudis atau hipokrit dalam isu-isu yang melibatkan hak-hak wanita dan binatang untuk menayangkan secara percuma DNA mereka kepada orangramai.
Dan sekiranya Ketua Menteri Melaka enggan mengikuti saranan ini, saya mencadangkan supaya orang-orang bukan-Melayu yang sebelum ini memenuhi semua tempat dan ruang ketika Bersih 4.0 dulu bangkit melancarkan Bersih 4.01 terhadap kerajaan Melaka. Ini kerana hak-hak lembu, ayam dan unta untuk memperagakan keistimewaan dan bakat semulajadi di sebalik DNA mereka telah dicabuli dengan begitu kejam dan secara tidak demokratik sekali.
Saya percaya demo jalanan Bersih 4.01 akan turut disertai oleh aktivis-aktivis hak asasi binatang juga.
Tidak ketinggalan, jemputan juga perlu dihulurkan kepada kumpulan Rahmatun Lil Alamin, sebab kita tidak boleh menafikan Rahmatan itu kepada para peserta yang terdiri dari lembu, ayam dan unta. Mereka juga makhluk Allah.
Untuk memberi kesan visual yang boleh memukau para penonton, adalah disarankan penganjur menjemput penghisap-penghisap Vape untuk menghasilkan kesan visual yang luarbiasa sekali. Mereka sangat mahir dalam bab ini.
Satu kelebihan apabila menganjurkan Ratu Cantik Binatang (RCB) adalah para peserta tidak perlu menjalani satu rejim pemakanan yang ketat, mendapat khidmat pakar kecantikan, tajaan alat-alat solek dari syarikat-syarikat berjenama antarabangsa (yang produk semisal boleh juga didapati di beberapa pusat membeli belah di Haatyai) atau menjalani latihan-latihan intensif untuk menjawab soalan-soalan serius dan bersifat “intelektual” dari panel hakim.
Mereka tidak perlu berkecil hati atau merungut kalau kalah.
Mereka juga tidak perlu mengekalkan ukuran-ukuran 36-24-38 (lebih kurang) pada dada, pinggang dan ponggong mereka.
Mereka tidak perlu bimbang bahawa ukuran 36-24-38 akan bertukar menjadi 30-30-30 ketika mereka mencapai usia 65 tahun nanti.
Dan sebagai satu testimoni semangat keperwiraan dan patriotisma tertinggi yang dapat ditunjukkan oleh para peserta Ratu Cantik Binatang (RCB) ini adalah dengan merelakan diri mereka DIKORBANKAN untuk mencapai maslahah yang lagi besar (the greater good).
Umat Islam tentu akan bersyukur kepada Allah terhadap pengorbanan mereka.
Osem kan?
Catatan Penutup.
Berdasarkan hujah-hujah yang telah dinyatakan di atas, adalah ditegaskan bahawa kerajaan negeri Melaka di bawah kepimpinan Ketua Menterinya telah jauh ketinggalan di dalam penganjuran Ratu Cantik Antarabangsa dan gagal memakmurkan ekonomi negeri dan rakyat jelata.
Beliau sebaliknya telah memalukan seluruh rakyat Melaka, yang manusia dan binatangnya!
Aktivis Isma, Tuan Muhammad Luttfi Abd Khalid
Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan