Jangan banding TPPA dengan Perjanjian Pangkor, Malaysia tak macam dulu: Mustapa

Datuk-Seri-Mustapa-Mohamed (1)
KUALA TERENGGANU, Khamis – Kedaulatan Malaysia tidak tergugat dengan kerajaan menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata pihaknya mengambil berat pandangan sesetengah pihak yang khuatir jika TPPA memberi kesan kepada kedaulatan negara.

“Tidak adil membandingkan situasi dahulu dengan sekarang kerana Malaysia kini bukan macam dahulu. Dahulu kita dijajah sebab tidak ada harta dan ilmu, kini Malaysia mempunyai ramai golongan profesional dan cendekiawan.

“Malah syarikat tempatan seperti Petronas juga sangat hebat dan digeruni di luar negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat TPPA bersama penjawat awam dan komuniti perniagaan Terengganu di sini hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong serta Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian Dan Perdagangan Negeri, Datuk Tengku Putra Tengku Awang.

Mustapa berkata demikian bagi mengulas kebimbangan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) yang mengatakan Perjanjian Pangkor pada 1974 memberi kesan buruk terhadap negara sehingga hari ini.

Beliau berkata, TPPA sebenarnya akan memberi kesan baik kepada syarikat Malaysia yang berdagang di luar negara.

Ini adalah berdasarkan keuntungan yang diperoleh syarikat Malaysia iaitu kira-kira RM600 bilion tahun lepas berbanding jumlah pelaburan syarikat asing di negara ini sebanyak RM500 bilion.

“Ia adalah situasi menang-menang sebenarnya, kerana ia memberi lebih ruang kepada syarikat tempatan untuk meneroka peluang perniagaan di luar negara,” katanya.

Mengenai cadangan DPMM yang mahu kerajaan menumpukan peluang perniagaan di negara-negara serantau, Mustapa berkata, ia merupakan fokus utama namun dalam masa yang sama, peluang perniagaan di negara lain seperti di benua Afrika dan Amerika juga perlu diteroka.

“Sudah semestinya kita menumpukan hubungan dagangan dengan negara-negara ASEAN, tetapi rugilah jika tidak mengambil kesempatan untuk mengadakan hubungan dagang dengan negara lain sebab kita tidak mahu mengambil risiko jika hanya bergantung kepada negara tertentu,” katanya.

Mengulas laporan Bank Dunia yang mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar  (KDNK) bagi negara yang menandatangani TPPA seperti Malaysia dan Vietnam akan meningkat secara purata sebanyak 1.1 peratus menjelang 2030, Mustapa berkata ia satu andaian yang positif daripada pihak luar terhadap ekonomi negara.

“Kita juga ada membuat kajian sendiri menerusi PwC (PricewaterhouseCoopers) dan menyatakan bahawa output Malaysia akan bertambah, tetapi tidaklah besar.

“Secara keseluruhannya memang TPPA memberi kesan yang baik kepada Malaysia, namun kita sedar ada beberapa cabaran tapi kita akan pastikan (pelaksanaanya) selaras dengan kepentingan ekonomi dan negara,” katanya. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian