Melayu perlu masa untuk bersaing secara adil
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Ahad – Kesan penekanan pencerobohan penjajah punca orang Melayu belum bersedia untuk tidak bergantung kepada kerajaan sepenuhnya.
Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdul Rahman Mat Dali berkata bagaimanapun kini sudah ada orang Melayu yang sudah bersedia untuk tidak bergantung kepada kerajaan, tetapi jumlahnya sedikit.
“Ini kerana ia akan jadi persaingan yang berat sebelah dan tidak adil berikutan ramai Melayu yang masih miskin dan sederhana ekoran penekanan yang ditanggung semasa pencerobohan penjajah termasuk British.
“Orang Cina lebih awal mendapat bantuan daripada polisi British yang membantu kaum Cina termasuk anugerah jutaan ekar kepada mereka,” katanya kepada Ismaweb.net hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang menggesa bangsa Melayu supaya mengubah pemikiran bergantung pada kerajaan.
Malah, Rafidah Aziz menyifatkan bahawa orang Melayu masih lagi bergantung kepada ‘tongkat’ walaupun keadaan sudah lebih baik berbanding dahulu.
Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata zaman penjajahan British dahulu telah mencatatkan kapitalis-kapitalis British dan Cina sudah terlalu banyak mengambil khazanah di tanah Melayu.
Jelasnya, Rafidah yang juga bekas Ketua Wanita UMNO tidak sepatutnya lupa sejarah pahit dan faham dengan penindasan yang pernah dilalui orang Melayu ketika itu.
“Bercakap hal persaingan ekonomi dengan Cina, mereka sudah dapat ‘tongkat’ lebih besar dan lebih awal daripada pihak British dan bantuan kumpulan ‘tokey’ Cina berbanding ‘tongkat’ kecil yang diterima Melayu.
“Pemimpin UMNO dan lain-lain perlu merenungi, faham serta tidak lupa konsep kontrak sosial yang dipersetujui semasa kemerdekaa,” katanya.
Bagaimanapun beliau menasihatkan bangsa Melayu Islam supaya bina kemampuan untuk menjadi bangsa yang berilmu, berdisiplin, bermaruah dan dihormati.
“Sebagai Melayu Islam, kita perlu bina kemampuan untuk jadi bangsa yang berilmu, berdisiplin, kuat, bermaruah, dihormati dan terus memimpin di negara ini.
“Islam turut menyeru umatnya berusaha gigih untuk membangun supaya jadi kuat dan punya harga diri serta dihormati agar tidak dipandang hina,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan