Muhyiddin bimbang kelompok pendesak UMNO Kedah ada agenda peribadi
BANGI, Khamis – Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyokong kepemimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini melahirkan kebimbangan cubaan menggulingkan Menteri Besar Kedah itu bermotifkan agenda peribadi pihak tertentu.
Dalam satu kenyataan mengulas tindakan kelompok pendesak diketuai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah yang mahu menggulingkan Mukhriz, beliau memberi amaran bahawa UMNO bakal berdepan perpecahan jika tindakan itu diteruskan.
Beliau yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri menyifatkan krisis politik UMNO di Kedah sebagai jelik dan memalukan.
“Sekiranya desakan supaya Mukhriz disingkirkan dibuat atas kepentingan politik peribadi pihak-pihak tertentu dan bukannya atas kepentingan rakyat, maka ini adalah sesuatu yang amat malang.
“Saya khuatir sekiranya desakan supaya Mukhriz berundur dilayan oleh pucuk pimpinan parti, maka Umno akan semakin kehilangan hormat rakyat dan akan menghadapi cabaran yang semakin getir pada hari-hari yang mendatang.
“Saya amat kesal kerana dalam keadaan rakyat dan negara berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi yang cukup getir serta keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan BN semakin terhakis, rakyat khususnya di negeri Kedah dibebankan lagi dengan krisis politik yang jelik dan memalukan,” katanya.
Semalam, sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen UMNO Kedah menyuarakan pendirian hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan