Nak nampak kaya atau jadi kaya?
Dibesarkan dalam cara yang sederhana, pada awalnya sedikit sebanyak membuatkan saya tidak berpuas hati.
Kenapa?
Kerana saya tahu kemampuan ayah saya. Beliau sebenarnya mampu untuk memanjakan anak-anaknya dengan apa yang kami mahukan, tetapi beliau lebih memilih untuk membesarkan anak-anaknya dengan cara yang bersederhana.
Saya ingat lagi, sewaktu di sekolah menengah dahulu. Ramai yang berpusu-pusu menggunakan telefon bimbit berjenama Blackberry. Telefon bimbit berkenaan cukup hangat pada ketika itu. Saya ada juga meminta pada ayah saya. Namun saya tahu, jawapannya akan menghampakan.
“Nak, beli sendiri,” katanya.
Saya sentiasa tertanya-tanya, kenapa susah sangat ayah nak belikan untuk saya sedangkan ia bukanlah sesuatu yang terlalu mahal. Banyak yang saya minta, itu ini. Jika ianya bukan sesuatu keperluan dan hanyalah kehendak semata-mata, ayah saya tidak akan melayan permintaan itu.
Sikapnya itu mengajar saya untuk berdikari. Nak sendiri, usaha sendiri.
Selalu juga saya abaikan kehendak-kehendak merapu saya, kerana bila sahaja sudah mengumpul duit sesuai dengan harga barang berkenaan, saya akan merasakan ia terlalu membazir untuk dihabiskan begitu sahaja pada perkara yang tidak penting langsung.
Lalu saya faham, mengapa ayah saya memberikan respon sedemikian. Dia ingin mengajar saya untuk lebih menghargai duit. Duit bukan sesuatu yang mudah untuk didapatkan, ada usaha, adalah duit. Tiada usaha, beranganlah mat jenin!
Jangan fikir, orang yang pakai telefon bimbit gah, kereta gah, semuanya gah itu, berduit.
Pernah dengar bukan, biar papa asal bergaya?
Ada sahaja orang yang saya lihat ‘struggle’ untuk bayar duit kereta bulan-bulan. Semata-mata ingin nampak gah, merana di sebaliknya kerana banyak lagi keutamaan lain yang perlu dilangsaikan.
Ada juga kawan yang baru sahaja bekerja, tetapi sudah mahu membeli kereta yang bukan Proton dan bukan Perodua. Dalam hati, saya bertanya, mengapa. Lalu, bila saya nasihatkan, agar beli sahaja kereta mengikut kemampuan, kemudian baru dia memberitahu bahawa sebenarnya dia ingin nampak ‘class’. Kerana itu dia tidak mahu memakai kereta ‘common’ sebegitu.
Jangan tertipu saudara/saudari. Kerana yang merananya kelak adalah kita dan bukannya orang yang melihat kereta apa yang kita pakai, baju apa yang kita pakai dan sebagainya.
Ditambah pula dengan suasana ekonomi yang sangat mencabar kini, juga kenaikan kos sara hidup yang menuntut kita menguruskan kewangan dengan begitu berhati-hati agar perut masih dapat diisi di tengah-tengah bulan.
Sekiranya kita gagal mengawal nafsu membeli, nafsu ingin menunjuk, nafsu mahu nampak hebat dan seangkatan dengannya, kita, pada akhirnya hanya menganiayai diri sendiri. Baliklah kepada rasa cukup dengan apa yang ada.
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
لَيْسَ الْغِنَى عَنْ كَثْرَةِ الْعَرَضِ وَلَكِنَّ الْغِنَى غِنَى النَّفْسِ
“Kekayaan (yang hakiki) bukanlah dengan banyaknya harta. Namun kekayaan (yang hakiki) adalah hati yang selalu merasa cukup.” (HR. Bukhari no. 6446 dan Muslim no. 1051).
Saya juga ingin kongsikan kata-kata hikmah dari seorang tokoh ternama. Pernah dengar tokoh bernama Warren Buffet? Oh, he’s my favourite dan di bawah adalah beberapa quote kegemaran saya dari beliau:
On Earning: “Never depend on single income. Make investment to create a second source”.
On Spending: “If you buy things you do not need, soon you will have to sell things you need”.
On Savings: “Do not save what is left after spending, but spend what is left after saving”.
Jadi, pada akhirnya… Keputusan berada di tangan kita sendiri. Nak nampak kaya atau jadi kaya.
Orang yang nampak kaya, dia akan beli segala macam untuk menunjukkan dia kaya.
Tetapi orang yang betul-betul kaya, mereka bijak. Bijak untuk tidak tertipu dan bijak untuk menjaga apa yang yang telah diusahakan itu.
Wallahua’lam.
P.S. Dahulu, pernah saya kerosakan telefon bimbit, lalu menangis-nangis pada ayah ingin meminta telefon bimbit baru. Dah dapat telefon bimbit baru, kemudian mengadu pula tiada duit. Ayah saya cakap:
“Makan telefon tu”
Wartawan Ismaweb
Ainul Illia Meor Suzurudin
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana. Ia juga tidak mewakili pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan