Pemimpin PKR hadiri program PAN di Kelantan dianggap sanggah kepentingan PAS

takiyuddin

KOTA BAHARU, Isnin – Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menghadiri program anjuran Parti Amanah Negara (PAN) di Kelantan dianggap menyanggah kepentingan PAS, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Beliau berkata PKR adalah rakan politik (tahaluf siyasi) kepada PAS dan Kelantan adalah negeri yang diperintah PAS manakala program anjuran Amanah adalah untuk menghentam PAS.

“Jadi mana-mana pimpinan PKR yang hadir dalam program anjuran Amanah jadi ia dianggap satu tindakan yang menyanggah kepentingan PAS,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob dilaporkan berkata pemimpin PKR sebelum ini membuat perakuan untuk bersama PAS Kelantan namun akuan itu tidak dipenuhi apabila ada pemimpin PKR menghadiri beberapa majlis anjuran PAN.

Ditanya mengenai kehadiran pemimpin PKR dalam program anjuran PAN di negeri lain, Takiyuddin berkata isu itu hanya relevan bagi negeri Kelantan yang diperintah PAS.

Takiyuddin turut meminta PAS peringkat cawangan, kawasan, negeri serta sayap memantau dan menghantar laporan kepada PAS Pusat jika mendapati ada anggota dan pemimpinnya yang menghadiri program anjuran PAN.

Beliau menarik perhatian bahawa awal bulan ini, PAS Pusat telah mengeluarkan amaran kepada seluruh anggota dan pemimpinnya supaya tidak menghadiri program anjuran parti serpihan PAS itu.

Mengenai pilihan raya negeri Sarawak akan datang, beliau berkata PAS bekerjasama dengan PKR berkaitan kerusi yang bakal ditandingi namun tidak dengan DAP.

“Dengan DAP kita tak terikat untuk bertanding, kalau perlu lawan, kita lawan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir berkata PKR Kelantan masih bersama PAS dan tidak menganjurkan program yang melibatkan PAN.

“Dalam program anjuran PAN di Kelantan baru-baru ini, penganjur berurusan terus dengan PKR Pusat,” katanya.- Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian