Pengubahsuaian Bajet 2016 langkah tepat pada masa

pengubahsuaian-bajet-2016-500x337

GEORGE TOWN, Ahad – Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) melihat pengubahsuaian Bajet 2016 sebagai langkah yang tepat pada masa untuk menangani kejutan ekonomi sekarang.

Ketua Eksekutifnya Datuk Redza Rafiq berkata kerajaan sentiasa pantas menangani cabaran ekonomi dan pengubahsuaian Bajet 2016 merupakan langkah yang perlu dan tepat pada masa dalam suasana kelembapan ekonomi global sekarang.

“Langkah-langkah sedemikian yang biasanya bersifat pengagihan, akan mempunyai elemen yang mencerminkan agenda ‘Ekonomi Rakyat’ kerajaan dan berfungsi untuk menentukan agenda Pertumbuhan Kesaksamaan Sosial NCIA,” katanya kepada Bernama hari ini.

Khamis lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pengubahsuaian Bajet 2016 yang berdasarkan kepada realiti keadaan ekonomi semasa.

Redza berkata agenda kerajaan untuk memastikan jurang perbezaan pendapatan negara ditangani akan menyaksikan NCIA menggandakan usahanya untuk bekerjasama dengan sektor swasta bagi mewujudkan pekerjaan baharu dan peluang perniagaan.

“Pengenalan Nod Pertumbuhan Baharu NCIA di Koridor Utara akan menyediakan inisiatif ini dengan lokasi kondusif di mana syarikat-syarikat ini akan berkembang maju dan berjaya,” katanya.

Beliau berkata inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pembiayaan bagi institusi kewangan pembangunan dan syarikat modal teroka akan menyediakan sumber baharu pembiayaan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat yang baru bermula.

“Ini sudah pastinya menyediakan instrumen tambahan kepada NCIA untuk menghubungkan PKS ini dengan syarikat-syarikat besar sebagai sebahagian daripada program NCIA di bawah fungsi Pusat Perkhidmatan Sokongan Sumber (RSSC),” katanya.

Beliau berkata pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak tiga peratus dijangka menyalurkan RM8 bilion ke dalam pasaran dari segi perbelanjaan pengguna di mana ini akan membantu merangsang perbelanjaan dan mewujudkan pengganda huluan dan hiliran bagi banyak industri di Koridor Utara.

Redza berkata agenda jaminan makanan negara akan mendapat rangsangan menerusi peruntukan insentif tambahan RM50 bagi setiap tan metrik ‘padi bersih’ yang dihasilkan.

“Ini akan dapat menggalakkan pesawah padi meningkatkan usaha mereka bekerjasama dengan NCIA dalam Program Estet Padi dan juga menggalakkan generasi muda menyertainya,” katanya.

Mengenai penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Redza berkata perjanjian perdagangan terbesar dunia itu akan membuka peluang baharu dan keupayaan memanfaat peluang ini boleh membawa manfaat ekonomi yang lebih besar kepada negara.

Beliau berkata PKS di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) kini perlu berusaha memanfaatkan kemungkinan ini dan mengambil kesempatan daripada peluang baharu yang akan muncul.- Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?