Rakyat Malaysia perlu perkukuh budaya berpendidikan tinggi: Zahid

PUTRAJAYA, 21 Jan -- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang media selepas menerima kunjungan Timbalan Menteri Keselamatan Awam China, Meng Hongwei di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini. --fotoBERNAMA (2015) HAKCIPTA TERPELIHARA

SIBU, Ahad – Budaya berpendidikan tinggi serta pembelajaran sepanjang hayat boleh dipertingkatkan lagi sekiranya setiap keluarga komited untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang siswazah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini juga meliputi keluarga yang tinggal di rumah panjang terpencil atau kampung dan penempatan di luar bandar kerana ia amat penting untuk mencapai matlamat pembangunan negara menjelang 2020 dan seterusnya.

“Pada masa itu, sekurang-kurangnya 60 peratus daripada rakyat kita terdiri daripada siswazah dan mereka yang memelihara serta mengamalkan nilai-nilai baik Asia. Oleh itu, saya menggesa semua orang supaya menjadikan pembelajaran sepanjang hayat sebagai satu budaya juga.

“Yang sedihnya, kita mempunyai orang yang terpelajar, tetapi tidak bijak. Saya kata mereka tidak bijak kerana mereka tidak memiliki nilai-nilai ini,” katanya ketika berucap kepada staf dan pelajar Kolej Universiti Teknologi Sarawak (UCTS) di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata di samping mempunyai kemudahan dan infrastruktur kelas pertama di universitinya, negara ini juga perlu mempunyai mentaliti dan sikap kelas pertama dari segi sumbangan kepada masyarakat oleh para profesor dan pelajar.

Katanya, untuk mencapai perkara itu, semua rakyat Malaysia perlu melangkah ke hadapan secara seiringan dalam bidang tertentu dan menjadi yang terbaik dalam bidang berkenaan.

“Pada awal 60-an, negara seperti Korea belajar daripada kita. Malah, kita mengatasi mereka dalam bola sepak.

“Sekarang, kita ketinggalan, termasuk dalam bola sepak, sedangkan Korea merupakan antara negara terkemuka dalam sukan itu serta menjadi pengeluar barangan elektronik dan telefon bimbit Samsung berkelas dunia.

“Malangnya, kita masih lagi sibuk melayan perbezaan antara kita, berlawan antara satu sama lain,” katanya.

Ahmad Zahid menggesa rakyat Malaysia supaya mula membuat perancangan untuk tahun 2027 apabila negara ini menyambut ulang tahun kemerdekaannya yang ke-100.

Secara berjenaka, Ahmad Zahid berkata beliau bersedia menjadi profesor pelawat di UCTS apabila bersara daripada politik kelak.

“Saya amat kagum dengan universiti ini. Ia dirancang dan disusun dengan sungguh teliti.

“Ia juga mencapai kecemerlangan yang jarang dicapai pihak lain apabila memperoleh klasifikasi Indeks Bangunan Hijau bertaraf platinum,” kata beliau.- Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?