Syor tubuh Majlis Halal Malaysia ke Kabinet
PUTRAJAYA, Isnin – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengemukakan usul kepada Kabinet berhubung cadangan menubuhkan Majlis Halal Malaysia bagi menyatukan hal-hal berkaitan industri halal negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata, industri halal mempunyai skop yang luas dan sewajarnya kementerian yang mempunyai kaitan dengan hal itu disatukan di bawah satu majlis.
Katanya, selain Jakim, kementerian yang terbabit ialah Kementerian Kesihatan; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Kementerian Pertanian serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
“Kita mahu adanya Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang mana kesemua kementerian duduk bersama berbincang untuk membuat keputusan berkaitan isu halal dan seterusnya semua pihak dapat melaksana tindakan itu,” katanya kepada media selepas melancarkan pendaftaran program Transformasi dan Globalisasi Usahawan Bumiputera Dalam Industri Halal anjuran Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di sini, hari ini.
Jamil Khir berkata, majlis tersebut akan membantu menyeragamkan pertikaian bidang kuasa dan undang-undang antara kementerian dalam mengendalikan proses pengeluaran sijil halal.
Buat masa ini, katanya, 72 peratus pemilikan Sijil Halal dimonopoli kalangan pengusaha bukan Islam dan syarikat antarabangsa.
“Bagi pengusaha bukan Islam, mereka tidak lagi melihat sijil Halal hanya untuk memberi nilai tambah kepada perniagaan mereka tetapi membantu memperluas capaian pengguna berbilang agama,” katanya.
“Oleh itu sewajarnya pengusaha Islam khususnya Bumiputera berusaha untuk memiliki sijil Halal kerana ia membantu menyakin pengguna termasuk bukan Islam seperti dari segi amalan penyediaan dan penyimpanan yang baik dari sudut kesihatan.
Jamil Khir dalam pada itu berkata, Makmal Analisis Institut Halal Malaysia di Bandar Enstek, Nilai dijangka mula beroperasi pada April ini.
“Makmal ini akan membantu empat buah makmal panel lain dalam mengangkat imej negara sebagai peneraju utama industri halal global,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan