Tonjolkan pendirian dalam beragama – Ustaz Fisol
Oleh: Fakhruddin Afif Fauzi
ALOR SETAR, 29 Jan – Naib Yang Dipertua Isma Cawangan Alor Setar, Tuan Guru Haji Abdul Fisol bin Mohd Isa menggesa masyarakat Islam agar sentiasa menonjolkan pendirian dalam beragama.
Dia yang mesra dengan panggilan Ustaz Fisol itu berkata, sikap dan pendirian terhadap sesuatu perkara yang berkait dengan agama Islam yang tercinta mestilah ditunjukkan.
“Jangan buat senyap saja tanpa nyatakan sebarang pendirian, seolah-olah kita setuju atau tidak ambil peduli apabila sesuatu kejadian yang merendah-rendahkan martabat agama kita dibuat.
Ustaz Fisol berkata demikian ketika membincangkan kisah sahabat Rasulullah s.a.w. iaitu Habib bin Zaid r.a. dalam program Usrah Umum bulanan anjuran Isma Alor Setar, baru-baru ini.
Ujarnya lagi, kepahlawanan Habib bin Zaid r.a wajar dijadikan iktibar oleh segenap masyarakat dalam konteks bertegas dalam beragama.
“Habib bin Zaid r.a. ketika ditangkap oleh Musailamah al-Kazzab, dia dipaksa mengakui kerasulan Musailamah tetapi dia enggan walaupun dia tahu nyawanya di hujung tanduk hatta dia seorang pembawa utusan yang tidak sepatutnya dibunuh.
“Namun akhirnya Habib dibunuh kejam dan anggota badannya dikerat-kerat oleh orang-orang Musailamah,” katanya lagi.
Walaupun Isma wujud sebagai pertubuhan Islam yang sederhana, Isma sentiasa menyatakan pendirian yang tegas dalam pelbagai isu yang melibatkan kepentingan aqidah, agama Islam dan Melayu sebagai bangsa dakwah utama di Malaysia termasuklah perjanjian TPPA, isu kalimah Allah, ancaman kristianisasi dan Syiah.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan