Jangan samakan profesor dengan penjawat awam: Ridhuan Tee
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Isnin – Jangan samakan ‘profesor’ dengan penjawat awam, kata pendakwah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.
Beliau menolak pandangan sesetengah pihak yang berpendapat golongan pendidik universiti sebagai penjawat awam sedangkan katanya mengikut undang-undang, mereka yang berada di universiti adalah pekerja universiti.
Selesa menggunakan istilah ilmuwan berbanding profesor, Ridhuan Tee berkata perkhidmatan dan sumbangan akademik mereka melebihi penjawat awam.
“Mengikut undang-undang, mereka yang berada di universiti adalah pekerja universiti bukan penjawat awam. Ada beberapa kes pensyarah kalah dalam perbicaraan kerana menggunakan istilah penjawat awam.
“Ilmuwan dengan penjawat awam berbeza. Ilmuwan, ilmunya penuh di dada. Penjawat awam hanya tahu mentadbir.
“Ilmuwan boleh mentadbir. Pentadbir belum tentu boleh mendidik. Inilah perlu diketahui oleh pemimpin politik masa kini agar jangan terlalu berpolitik,” katanya dalam tulisan terbaru di Sinar Harian, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan yang terpaksa menghentikan kontrak ramai profesor yang berumur 61 tahun ke atas berikutan kekangan kewangan negara.
Mengulas perkara itu, beliau berkata umur persaraan ilmuwan hendaklah dilanjutkan kepada 65 atau 70 tahun, selaras dengan amalan antarabangsa.
“Kebanyakan mereka yang dilantik ke jawatan profesor, pada ketika lingkungan usia 50-an. Sayang sekali ilmu keprofesoran mereka hanya dimanfaatkan beberapa tahun sahaja sebelum pencen.
“Tidak dinafikan hari ini ramai juga pensyarah muda yang dilantik ke jawatan profesor disebabkan oleh kejayaan menghasilkan artikel dan penyelidikan berkualiti.
“Malangnya golongan ini hanya pandai menulis tetapi tidak pandai bercakap dan bermasyarakat. Sebab itu, jangan syok sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, beliau bersetuju dengan kenyataan kerajaan mewujudkan badan khas untuk memastikan kehebatan ilmu yang dimiliki ilmuwan tidak dibiarkan begitu sahaja walaupun telah tamat perkhidmatan.
“Majlis Persatuan Akademik Negara (MAAC) hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya, selain Majlis Profesor Negara (MPN),” katanya.
Beliau turut mengingatkan golongan profesor supaya tidak hanya menyebarkan ilmu di dewan kuliah sebaliknya cuba mendekati masyarakat seperti surau, masjid atau institusi lain.
“Profesor hari ini janganlah terlalu bergantung harap untuk disambung kontrak. Menyebarkan ilmu tidak hanya di dewan kuliah, tetapi juga bermasyarakat.
“Syaratnya, jangan buta agama. Mestilah pandai mengislamisasikan dan mengintegrasikan ilmu kepakaran dengan ilmu agama,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan