Kempen ‘Jom Baca al-Quran’ di pusat rekreasi
PETALING JAYA, 29 Feb – Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Kuala Lumpur (Isma KL) telah menganjurkan kempen ‘Jom Baca al-Quran di Pusat Rekreasi Taman Jaya.
Program ini merupakan inisiatif daripada Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan akan dilaksanakan di setiap cawangan mengikut peringkat.
Isma KL terpilih untuk menjayakan projek sulung ini di bawah kempen ‘Indahnya Islam’.
Menurut pengarah program, Hanif Shaidi berkata antara objektif kempen tersebut adalah untuk melahirkan satu budaya masyarakat yang biasa dengan al-Quran.
Selain daripada itu, menurutnya lagi, persepsi masyarakat yang menganggap al-Quran hanya dibaca di masjid, surau atau rumah harus diperbetulkan.
“Kita nak ubah persepsi masyarakat yang hanya menganggap Al-Quran dibaca hanya di tempat tertentu seperti di masjid, surau atau rumah. Sebenarnya Al-Quran ini boleh dibaca di mana sahaja tak kira masa atau tempat,” kata Hanif.
Antara aktiviti utama kempen yang diadakan di dalam pusat rekreasi tersebut adalah Klinik Al-Fatihah yang mengajak orang ramai untuk menyemak bacaan surah al-Fatihah mereka yang akan diperdengarkan kepada ustaz dan ustazah di sana.
“Bacaan al-fatihah adalah salah satu rukun dalam solat,” ujar Hanif ketika mengulas tentang aktiviti terbabit.
Perkara yang sama turut diakui oleh salah seorang pengunjung, Hamidi Ahmad, selepas memperdengarkan bacaannya di lokasi kempen.
Kempen yang bermula selepas asar tersebut berakhir pada jam 7 petang.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan