Kimma, Yakin rancang buka 400 Halal Mart di seluruh negara

kimma
MELAKA, Isnin – Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) dengan kerjasama Yayasan Kemajuan Islam Nasional (Yakin) merancang membuka 400 Halal Mart di seluruh negara dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini.

Setakat ini, tiga Halal Mart dibuka di Selangor iaitu masing-masing satu di Bangi dan dua di Kajang kira-kira dua minggu lalu, kata Presiden Kimma, Datuk Seri Syed Ibrahim Kader.

Beliau berkata, Halal Mart berkenaan akan memasarkan pelbagai produk dan barangan halal keluaran Bumiputera yang dijual pada harga murah.

“Kita menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat di Selangor apabila tiga Halal Mart yang baharu ini dibuka dan pada tahun ini sahaja kita sasar untuk buka 70 premis Halal Mart di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor secara berperingkat.

“Semua barangan yang dijual akan dibekalkan Yakin Konsortium kepada semua cawangan yang ada bagi memastikan produk atau barangan yang dijual menepati kualiti yang telah ditetapkan,” katanya pada majlis Makan Malam Kimma Bersama Pemimpin di sini kelmarin.

Sehubungan itu, Syed Ibrahim menasihati golongan belia Bumiputera dan India Muslim berusia 40 tahun ke bawah supaya memohon dana berjumlah kira-kira RM350,000 melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Pemodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) untuk membuka francais Halal Mart.

Kimma dan Yakin, katanya, akan memantau perkembangan setiap usahawan yang membabitkan diri dalam pembukaan francais Halal Mart hingga berjaya.

Beliau berkata, sebuah gudang jualan produk Bumiputera dan halal juga telah dibuka di Kajang untuk bekalan kepada peniaga pada harga yang murah.

Katanya, pembukaan Halal Mart dan gudang berkenaan bertujuan meringankan beban rakyat untuk mendapatkan barangan dan keperluan harian pada harga yang berpatutan serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan terutama Bumiputera.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?