MAIDAM dan JHEAT bergabung bagi memartabatkan Islam di Terengganu
KUALA TERENGGANU, Isnin – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sentiasa memainkan peranan mengambil berat perkara yang berkaitan dengan ancaman terhadap akidah umatnya.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Ismail berkata, ini bertujuan bagi memelihara kesucian agama itu berteraskan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan utama umat Islam di negara ini.
“Pegangan akidah yang tidak berlandaskan al-Quran dan hadis, boleh memberi kesan yang negatif dan berbahaya kepada akidah umat Islam, malah ia akan menjadi ancaman kepada isu keselamatan negara dan menghakis kesejahteraan rakyat.
“Maka penyelewengan akidah akan menyebabkan umat Islam hidup dalam suasana kacau-bilau, pecah belah dan bercakaran sesama sendiri yang akhirnya akan memberi peluang kepada musuh, menghancurkan keamanan serta kestabilan politik dan negara,” katanya merasmikan seminar Daulatkan Islam Agama Negara (DIAN) peringkat negeri di sini, hari ini.
Shaikh Harun berkata, ancaman yang amat berbahaya seumpama itu seharusnya disekat dengan segera agar tidak merebak dengan meluas dalam kalangan masyarakat awam terutama di Terengganu.
Katanya, sehubungan itu MAIDAM dan JHEAT akan memastikan umat Islam di negeri ini memiliki kemurnian akidah dan pemikiran yang kental berdasarkan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Beliau berkata, seminar yang diadakan itu merupakan satu daripada usaha kedua-dua pihak untuk menjelaskan tentang kedudukan Islam di negara ini serta cabaran-cabaran yang terpaksa dihadapi Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Akidah Ahli Sunnah telah terbukti sabagai manhaj wasatiyyah yang berjaya menjaga akidah umat Islam daripada terjebak dengan ideologi menyeleweng seperti ajaran sesat, ekstremis agama, liberalisme serta agenda kristianisasi,” katanya.
Shaikh Harun berkata, secara ringkasnya Malaysia mesti menjadi negara Sunni iaitu negara Ahli Sunah Wal Jamaah dan menjadi benteng Sunni terkuat malah menjadi pusat Sunni serantau.
“Kalau Syiah ada negara sebagai contohnya Iran, maka Malaysia mesti menjadi negara pemelihara Islam yang sebenar seperti yang telah diijmakkan empat ratus tahun dahulu,” katanya.- Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan