Tak masuk akal ‘serah jalan awam kepada mat rempit’ berlumba
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
TOK Imam dan jemaah surau bersiap sedia di saf masing-masing untuk menunaikan solat Isyak. Selesai saja bilal surau iqamat, semua jemaah mula merapatkan saf.
“Allahuak….,” Imam Rosli mengangkat takbirnya. Tiba-tiba bunyi motor kuat melintasi jalan di hadapan surau.
“Allahhh!!” Imam Rosli mengurut dadanya. Terkejut dengan bunyi itu yang terlalu bising dan menganggu tumpuannya. Begitu juga jemaah lain. Suasana di surau yang mulanya sunyi dan bersedia untuk solat berubah serta-merta.
Jemaah menunjukkan riak wajah marah dengan ‘geng mat rempit’ kawasan itu yang sering kali menggunakan jalan di hadapan surau itu sebagai litar lumba mereka.
“Ini baru waktu Isyak, belum lagi masuk tengah malam nanti. Macam mana kerajaan boleh lagi nak cadangkan si mat rempit ni berlumba lagi?,” kata bilal Yusuf.
Perkara itu mungkin bukan bilal Yusuf sahaja yang mempersoalkannya malah ramai lagi. Keliru dengan tindakan kerajaan sejak kebelakangan ini.
Banyak perkara yang pelik dicadangkan untuk rakyat termasuk idea Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor yang mencadangkan program mendekati ‘mat rempit’ dengan menutup jalan sebagai tempat mereka berlumba.
Ternganga juga bila mendengar cadangan begitu. Seorang menteri yang sepatutnya mencari inisiatif atau cara mengekang masalah lumba haram di negara ini, mendorong perkara yang sebaliknya. Tidak masuk akal!
Banyak usaha lain untuk mendekati golongan ‘mat rempit’. Cara yang diusulkan itu akan mengundang keadaan yang lebih teruk bukan sahaja kepada golongan berkenaan malah masyarakat juga.
Ini bukanlah bermaksud golongan ‘mat rempit’ sebagai kumpulan berbahaya atau teruk, tetapi aktiviti yang dilakukan mereka jelas tidak membawa sebarang faedah.
Alasan Tengku Adnan atau ‘Ku Nan’ yang mengatakan bahawa platform yang disediakan kerajaan sebelum ini iaitu di litar dan trek tidak mendapat sambutan, sangat tidak munasabah.
Daripada kerajaan membuka jalan awam untuk mereka berlumba, lebih baik sediakan litar lumba yang murah untuk mereka guna. Mungkin betul, mereka tidak mahu gunakan litar atau trek sebagai tempat berlumba. Namun, cara membenarkan mereka berlumba di jalan awam bukan inisiatif yang baik.
Untuk apa program sebegitu dilaksanakan? Hanya sekadar memenuhi kepuasan nafsu golongan muda sahaja. Sedangkan banyak aktiviti lain yang boleh dirangka oleh kerajaan bagi mendekati golongan tersebut.
Menutup jalan awam juga boleh menimbulkan kesesakan, tidak kira di mana, walaupun ‘selekoh Ulu Yam’ yang menjadi tempat ‘mat motor besar’ membuang rerambut pada tayar motosikal mereka.
Kerajaan juga umpama ibu bapa kepada rakyat. Kenapa ibu bapa mencadangkan aktiviti yang tidak berfaedah pada anaknya hanya semata-mata mahu mendekati mereka? Sepatutnya fikirkan kesan dan impak akan datang.
Melayan kepuasan mereka hari ini tidak berbaloi kepada kerajaan, malah negara. Aktiviti itu tidak akan hanya berlumba semata-mata. Tidak mustahil wujud unsur pertaruhan (judi), alkohol, dadah mahu pun pergaulan bebas.
Adakah kerajaan yakin cara membenarkan mereka berlumba dalam program ‘Hari Tanpa Kenderaan’ itu dapat menyelesaikan masalah lumba haram di Malaysia termasuk masalah sosial lain?
Apa yang dicadangkan Ku Nan itu mungkin tertumpu di bahagian Kuala Lumpur sahaja. Bagaimana pula dengan tempat lain terutama kawasan kampung.
Jalan di bandar jauh lebih luas berbanding kampung. Membenarkan mereka berlumba di jalan awam tidak memberi penyelesaian apa-apa. Jika hanya fokus kepada Kuala Lumpur dan ibu kota ia tidak cukup memadai.
Kesian pada Imam Rosli, bilal Yusof dan orang kampung lain yang terpaksa berdepan bunyi bising motor malam-malam. Sampaikan mahu solat pun tidak khusyuk.
“Sebab itu kerajaan kena teliti betul-betul di setiap peringkat apa kesan buruk baiknya. Jangan nanti bila dah laksanakan, kerajaan lepas tangan pula,” kata Imam Rosli.
“Kita tunggu jelah keputusannya bagaimana nanti. Tapi yang pasti, aku sebagai bilal kat kampung ni memang tidak setuju dengan idea tu. Menyusahkan dan tiada faedah langsung!,” tegas bilal Yusof.
“Harapnya biarlah tidak dilaksana. Ketua Polis Negara pun akan berbincang dengan Ku Nan semula. Harap PDRM juga dapat teliti cadangan ini,” kata Imam Rosli.
Wartawan Ismaweb
Athirah Huda Zalhe
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
Ulasan
Catat Ulasan