Wanita Isma tegas tolak feminisme, sokong gesaan Rafidah
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Ahad – Fahaman dan ideologi feminisme ternyata tidak bersumberkan daripada Islam dan bercanggah dengan budaya ketimuran, kata Ketua Penerangan Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (Wanita Isma), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar.
Sehubungan itu, Wanita Isma menyokong gesaan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz supaya menolak pemikiran feminisme dalam kalangan wanita di Malaysia.
“Wanita Isma ingin menegaskan bahawa feminisme hanyalah gerakan yang ingin mengaburi wanita Islam dan mendakwa bahawa mereka memperjuangkan emansipasi wanita.
“Hakikatnya merekalah yang memutarbelitkan sumber daripada Al-Quran, Sunnah, fakta sejarah dan keindahan Islam yang telah meninggikan martabat wanita Islam dan hak-haknya,” kata Dr Rafidah dalam satu kenyataan, semalam.
Sebelum ini, Tan Sri Rafidah dalam satu kenyataannya mengkritik ideologi feminisme yang diperjuangkan oleh kumpulan tertentu.
“Saya benci kuota 30 peratus ini. Wanita bukan pengisi kuota. Jangan merendahkan kami hanya untuk mengisi kuota.
“Wanita perlu dinilai kecekapan dan kebolehan mereka. Bukan daripada nombor,” kata Tan Sri Rafidah dalam ucapannya pada 18 Februari lalu.
Mengulas perkara itu, Dr Rafidah Hanim berkata kecenderungan gerakan ini menggambarkan kedudukan wanita di Malaysia sebagai negatif, sentiasa ‘dizalimi’ dan tidak diberi keadilan dilihat sebagai cubaan mereka untuk kekal relevan di mata masyarakat.
“Tuduhan-tuduhan liar sentiasa mereka lemparkan kepada Islam sebagai punca ketidakadilan kepada wanita dan menyebabkan wanita di Malaysia ketinggalan dalam banyak hal terkandung dalam pelbagai dokumen antarabangsa seperti COMANGO dan CEDAW.
“Hakikatnya, melalui pembahagian hak-hak wanita dalam Islam yang dijelaskan secara nyata, wanita di Malaysia menikmati peluang pendidikan dan kerjaya yang lebih baik dibandingkan dengan sesetengah negara luar.
“Lebih 60 peratus pelajar universiti di Malaysia adalah wanita dan jumlah yang sama juga dilaporkan bagi wanita sebagai penjawat awam,” katanya.
Ulasan
Catat Ulasan