Azmi tarik balik rayuan pindah perbicaraan kes hasutan
PUTRAJAYA, Khamis – Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan rayuan pensyarah undang-undang Universiti Malaya, Prof Madya Dr Azmi Sharom mengenai pemindahan perbicaraan kes hasutannya ke Mahkamah Tinggi selepas beliau menarik balik rayuan itu.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Wira Mohtarudin Baki, Datuk Varghese George Varughese dan Datuk Abdul Rahman Sebli mengeluarkan perintah agar rayuan itu diketepikan.
Rayuan Azmi kepada Mahkamah Rayuan itu adalah berkaitan keengganan Mahkamah Tinggi membenarkan usahanya untuk memindahkan perbicaraan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Peguam Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah tentang penarikan balik rayuan itu kerana anak guamnya (Azmi) telah dibebaskan dan dilepaskan Mahkamah Sesyen pada 19 Feb tahun ini daripada tuduhan menghasut.
Pihak pendakwa menutup kesnya selepas memanggil empat saksi apabila Peguam Negara membuat keputusan menggugurkan tuduhan terhadap Azmi.
Azmi, 46, dihadapkan ke mahkamah pada 2 Sept 2014 kerana didakwa memberi komen berbaur hasutan melalui satu portal dalam talian berhubung krisis politik Perak pada 2009.
Timbalan Pendakwa Raya Awang Amardajaya Awang Mahmud mewakili pihak pendakwa. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan