Demokrasi tak matang, kata Syed Saddiq kepada Bung Moktar

851302904_25913_10033150760447404707

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, Khamis – Pendebat terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kesal dan terkilan dengan cabaran Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin supaya bertanding menentangnya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menjawab cabaran itu, Syed Saddiq ketika dihubungi Ismaweb hari ini berkata, cabaran yang cuba dilakukan oleh Bung Moktar dianggap sebagai demokrasi tidak matang.

Ini kerana katanya, seseorang yang mencabar ahli politik untuk bertanding pilihan raya adalah bercanggah dengan prinsip demokrasi.

“Hak demokrasi tidak terhenti apabila memilih wakil sahaja sebaliknya ia akan berterusan bagi memastikan pemimpin itu berkhidmat dan tidak tersasar daripada janjinya.

“Saya percaya jika kita ikut prinsip YB Bung Moktar, pasti lebih daripada satu juta orang akan bertanding di kawasan Pekan sahaja,” katanya.

Menerusi laporan satu portal liberal hari ini, Bung melahirkan rasa tidak puas hati beliau terhadap Syed Saddiq yang dianggap berlebihan menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bung turut mengalu-alukan Syed Saddiq supaya bertanding pada PRU14 termasuk di kawasan beliau untuk membuktikan pengaruh dan kehebatannya.

Mengulas lanjut perkara itu, Syed berkata setiap rakyat Malaysia mempunyai hak untuk bersuara malah ia termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kebebasan bersuara membantu untuk menentukan sama ada kita sebagai sebuah negara yang bebas. Menjadi tanggungjawab kita untuk menyuarakan elemen rasuah yang berlaku dalam negara yang tercinta ini.

“Saya juga percaya saya hanyalah seorang manusia biasa. Jika saya salah, tegur la saya. Jika saya melakukan kesalahan jenayah, laporkanlah kepada pihak berkuasa.

“Tetapi janganlah anda menafikan hak saya untuk bersuara, saya sekadar seorang insan biasa mencari kebenaran,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Bung Moktar supaya sedar serta tidak menjadi sombong dan bongkak kerana kedudukannya itu bila-bila masa sahaja akan hilang.

“Menjadi ahli politik bermaksud kamu ada untuk berkhidmat kepada rakyat bukan menjadi pemerintah yang bebas daripada kritikan.

“Ingatlah bahawa rakyat yang mengundi anda sebagai wakil dan bila-bila masa sahaja anda boleh hilang kuasa tersebut,” katanya.

Penuntut tahun akhir Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu turut menjemput Bung Moktar untuk mengadakan satu sesi perbahasan ataupun dialog bersamanya berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International atau wang sumbangan RM2.6 bilion.

“Ini boleh dilakukan di tempat terbuka atau persendirian, itu pilihan anda. Sekurang-kurangnya anda akan tahu apa yang rakyat rasa sekarang,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?