Disenaraihitam jika salah guna bauchar buku, amaran Kementerian Pendidikan Tinggi
PUTRAJAYA, Khamis – Kementerian Pendidikan Tinggi memberi amaran akan mengambil tindakan tegas, termasuk menyenaraihitam pelajar dan kedai buku yang didapati menyalahgunakan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M).
Amaran itu diberikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh ketika diminta mengulas pendedahan media baru-baru ini, mengenai pelajar yang menukar bauchar BB1M dengan wang tunai di kedai buku tertentu.
Beliau berkata, kementeriannya sudah menerima aduan mengenai dakwaan pelajar menjual BB1M kepada kedai buku untuk mendapatkan wang tunai.
“Kita akan turun padang dalam tempoh terdekat mengenal pasti jumlah kedai buku yang mengambil kesempatan menyalahgunakan baucar itu,” katanyakepada pemberita selepas melancarkan Buku Rubrik Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) di sini, hari ini.
Media sebelum ini mendedahkan ada pelajar menjual BB1M bernilai RM250, yang bertujuan meringankan beban perbelanjaan pembelian buku, kepada kedai buku dengan harga antara RM190 dan RM230 tanpa membeli apa-apa.
Menurut laporan itu, kedai buku akan menggunakan baucar tersebut untuk membeli buku yang tidak mendapat sambutan dan menuntut semula daripada kerajaan, dan pada masa sama, kedai itu akan menjual semula buku berkenaan di kedai buku terpakai untuk mengaut keuntungan.
Idris berkata, pelajar yang disenaraihitamkan kerana menyalahgunakan BB1M tidak akan menerima baucar pada tahun depan, manakala kedai buku yang disenaraihitam tidak akan menjadi wakil menjual buku yang boleh menerima BB1M pada masa akan datang.
Jumlah penerima BB1M pada tahun ini ialah 1.2 juta dengan nilai baucar bernilai RM300 juta.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan