DLP: Kerajaan kena perkasakan bahasa Melayu dalam sains, teknologi
Noorzamri Ibrahim, Pengerusi I-Guru
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Khamis – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) meluahkan kebimbangan berhubung Program Dwibahasa (DLP) bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pada peringkat sekolah rendah dan menengah akan menjejaskan kedudukan bahasa Melayu.
Presidennya, Cikgu Noorzamri Ibrahim berkata kelemahan bukan dilihat pada penguasaan bahasa Inggeris sebaliknya bahasa Melayu tidak diberi peluang untuk diperkasakan dalam bidang sains dan teknologi.
Katanya, bahasa Melayu yang juga bahasa kebangsaan negara sepatutnya menjadi bahasa ilmu pengetahuan sains teknologi supaya ia dapat dimartabatkan pada peringkat antarabangsa.
“Kita patut beri usaha dan tenaga lebih melalui kajian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pihak yang bertanggungjawab bagi meningkatkan lagi kualiti bahasa Melayu sebagaimana ia pernah menjadi lingua franca ketika dahulu.
“Bahasa kita pernah disegani di seluruh dunia yang digunakan sebagai bahasa keseniaan, perdagangan malah untuk semua cabang ilmu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan berhubung keputusan kementerian untuk meneruskan DLP ini di 296 buah sekolah di seluruh negara.
Program ini adalah sebagai inisiatif kerajaan yang mahu penguasaan bahasa Inggeris dipertingkatkan dalam kalangan pelajar sekolah sekaligus sebagai usaha mengembalikan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah dimansuhkan sejak 2009.
Mengulas lanjut perkara itu, Cikgu Noorzamri berkata, pemansuhan PPSMI yang dilihat tidak konsisten sebelum ini dibimbangi akan memberi kesan yang sama terhadap pelaksanan DLP sekali gus merencatkan dasar tersebut.
“Perlaksanaan yang tidak konsisten itu adalah salah satu faktor yang dilihat merencatkan dasar itu.
“Jika konsistansi dalam dasar ini gagal dilaksanakan dan sering berubah-ubah, ia akan memudaratkan sistem pendidikan negara,” katanya.
Katanya, penggunaan dwibahasa ini dilihat hanya akan menjadi pengimbang terhadap sentimen penyokong dan penentang isu PPSMI.
Namun, katanya, ia tidak diyakini sama ada boleh menjadi dasar yang berkesan terhadap pemerkasaan bahasa kebangsaan atau bahasa Inggeris.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan