“Hidup bebas tanpa hutang dan tidak bergantung kepada orang lain” – Timbalan Pemuda Isma

 

USMANJB20161

Oleh: Nurul Hidayah Ismail

JOHOR BAHRU, 31 Mac -Sejak tahun 2010 hingga april 2015, statistik menunjukkan sejumlah 107,000 individu telah diisytihar muflis. Daripada jumlah itu, seramai 23,484 orang merupakan belia yang berusia diantara 25 hingga 34 tahun. Statistik yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 25 Jun 2015 itu menyatakan  antara punca terjadinya masalah muflis adalah pengurusan kewangan yang lemah, tiada kawalan perbelanjaan kad kredit dan gagal membayar pelbagai jenis pinjaman.

Menyedari permasalahan tersebut, Usahawan Muslim Nasional (USMAN) dan Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Johor Bahru telah mengambil satu inisiatif dengan mengadakan seminar pengurusan kewangan di sini baru-baru ini, bertujuan untuk berkongsi cara-cara menguruskan kewangan dengan betul.

Menurut Ketua Perunding EZAZ Wealth Consultant, Encik Alwi Adam, langkah pertama yang perlu dilakukan untuk mengurus kewangan adalah menganalisa kewangan sedia ada.

“Menganalisa kewangan adalah sangat penting untuk mengenal pasti status kewangan yang ada. Selain itu, mengawal perbelanjaan agar tidak melebihi kemampuan juga merupakan perkara penting yang perlu diberi perhatian,” ujarnya.

Encik Alwi Adam yang juga merupakan Timbalan Ketua Pemuda Isma turut menunjukkan langkah-langkah dan tips yang mudah serta praktikal untuk diaplikasikan oleh para peserta dalam merancang kewangan mereka. Antara contohnya adalah seperti membeli kenderaan kurang 10 peratus daripada gaji dan membeli pelan perlindungan takaful untuk kematian sahaja.

Tambahnya lagi, seharusnya setiap individu perlu merasakan diri mereka seperti sebuah entiti perniagaan. Justeru, pelbagai perancangan dan strategi perlu dilakukan untuk memastikan tiada kerugian dan mempunyai keuntungan. Keuntungan yang dimaksudkannya ialah hidup bebas tanpa hutang dan tidak bergantung kepada orang lain demi memastikan kelangsungan hidup yang tenang.

USMANJB20162

Mengakhiri seminar, Encik Alwi Adam berpesan bahawa perancangan kewangan yang hebat tidak akan dapat diterjemahkan dalam kehidupan jika ia terus kekal sebagai teori yang hanya disimpan dalam buku.

“Mulakan praktikalnya dengan segera dan istiqamah sehingga berjaya. Lebih-lebih lagi sebagai seorang Muslim, kita hendaklah berusaha untuk menjadi umat yang bertakwa dan maju, bebas dari hutang dan kemiskinan lantas menjadi umat yang kuat, bangsa yang disegani, dihormati dan mempunyai harga diri yang tinggi.

“Lantaran itu, kita perlu berusaha untuk memperkukuh dan memperhebat ekonomi umat Islam sehingga dapat menguasai ekonomi dunia dan membantu masyarakat Islam lain yang memerlukan,” katanya.

Encik Alwi Adam merupakan seorang pelabur, usahawan, jurulatih dan perunding kewangan, perniagaan dan motivasi sepenuh masa. Beliau juga menerajui EZAZ Wealth Academy di bawah kelolaan EZAZ Wealth Management & Consultancy Sdn Bhd, satu akademi yang ditubuhkan untuk mendidik masyarakat terutama generasi muda tentang pengurusan kewangan, pelaburan dan perniagaan.

USMANJB20163

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?