PAS gesa tingkatkan perkhidmatan teksi
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Khamis – PAS menggesa pihak kerajaan supaya meningkatkan perkhidmatan teksi dengan mengurangkan bebanan birokrasi.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan berkata permit individu bagi individu perlu diberikan kepada pemandu teksi yang telah lama berkhidmat termasuk memperkasakan perkhidmatan kebajikan seperti caruman Perkeso dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
“Tambahan lagi, kerajaan juga digesa mencari titik penyelesaian bagi menangani permasalahan berkenaan perkhidmatan GrabCar dan Uber.
“Sekurang-kurangnya mencari jalan penyelesaian dengan menyediakan “padang yang sama rata” supaya persaingan yang sihat dapat berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Bagaimanapun katanya, apa yang lebih baik adalah kerajaan memansuhkan perkhidmatan GrabCar dan Uber ini sekaligus memperkukuhkan sistem perkhidmatan teksi.
“Malangnya, GrabCar dan Uber lebih selesa memberikan servis tanpa ada peraturan lain yang dikenakan tidak seperti perkhidmatan teksi hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian mogok yang diadakan oleh sekumpulan pemandu teksi di ibu negara, baru-baru ini.
Kira-kira 50 hingga 70 teksi berkumpul di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Bukit Bintang sebagai melancarkan protes terhadap kegagalan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengambil tindakan terhadap perkhidmatan GrabCar dan Uber yang didakwa menjejaskan pendapatan mereka.
Mengulas lanjut perkara itu, Nasruddin berkata kejadian protes itu memberikan gambaran terhadap kemuncak tekanan yang dihadapi oleh pemandu-pemandu teksi di negara ini.
“Walaupun, pada asasnya bantahan tersebut ditujukan kepada perkhidmatan GrabCar dan Uber yang seolah-olah mengganggu punca rezeki mereka, namun bebanan yang ditanggung pemandu teksi merupakan satu faktor yang tidak boleh dikesampingkan.
“Antaranya adalah masalah permit teksi yang diberikan kepada syarikat-syarikat teksi yang lebih suka mengait keuntungan segera dan juga pembayaran wang cagaran atau sewa beli yang tinggi.
“Keadaan ini telah mendorong kepada bebanan tambahan yang gagal diuruskan dengan baik oleh pihak kerajaan,” katanya.
Ini juga secara tidak langsung katanya, memberi kesan kepada perkhidmatan teksi termasuk kemerosotan pendapatan mereka sebanyak 50 peratus apabila SPAD memberikan promosi kepada perkhidmatan GrabCar dan Uber.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan