Speaker tak izin lagi RM2.6 bilion dibahas di Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR, Khamis – Isu RM2.6 bilion ‘derma’ yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak boleh lagi dibahaskan di Dewan Rakyat kerana dianggap subjudis.
Dalam satu nota Tuan Yang DiPertua Dewan Rakyat yang diedar kepada Ahli Parlimen hari ini, Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata keputusan yang dibuat selaras dengan Peraturan Mesyuarat 36 (2).
“Merujuk kepada Peraturan Mesyuarat 36(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Tuan Yang di-Pertua Dewan Rakyat diberi kuasa untuk menimbangkan sama ada sesuatu perkara yang dalam timbangan mahkamah boleh menjejaskan kepentingan-kepentingan pihak yang terlibat dalam prosiding mahkamah tersebut.
“Kuasa yang diberikan adalah selaras dengan prinsip Sub Judice Convention (House of Common Procedure dan Practice, Second edition 2009 Canada),” katanya.
Pandikar Amin berkata, keputusan itu dibuat berikutan wujud semakan kehakiman difailkan Majlis Peguam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 Mac lalu yang terkilan dengan keputusan Peguam Negara.
Sebelum ini, Peguam Negara pada sidang media 26 Januari lalu menyatakan bahawa tiada kesalahan jenayah yang dilakukan oleh Perdana Menteri berhubung siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dana RM2.6 bilion dan SRC International Sdn Bhd.
Katanya, beliau telah menimbangkan perkara itu dan mendapati bahawa semakan kehakiman yang difailkan terhadap Peguam Negara adalah perkara dalam timbangan mahkamah selaras dengan Peraturan Mesyuarat 23(1)(g).
Peraturan Mesyuarat 23(1)(g), katanya, memperuntukkan ‘sesuatu pertanyaan itu tidak boleh dikarangkan cakapnya sekira-kira harus menggelengcungkan perkara yang sedang dibicarakan oleh mahkamah dan tidak boleh ditanya berkenaan dengan apa-apa perkara yang dalam timbangan mahkamah’.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan