Feminis lahir hasil kegagalan faham konsep asas Islam: Ketua Pemuda Isma
Oleh Nurul Ashikin Abdul Halim
BANGI, Jumaat – Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, kegagalan memahami konsep asas dalam Islam adalah punca lahirnya golongan feminis dengan pemikiran yang ekstrem.
Beliau dalam satu kenyataan hari ini menyeru umat Islam di negara ini untuk kembali kepada ajaran asas Islam yang sebenar dan tidak terpengaruh dengan nilai-nilai jahiliah yang diterapkan oleh musuh Islam terutama golongan feminis.
“Kegagalan memahami konsep yang sangat asas dalam Islamlah yang melahirkan golongan feminis dengan neraca pemikiran, penampilan dan pembawaan diri serta kenyataan yang mengelirukan, sesat dan langsung tidak berasas,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai komen-komen negatif golongan feminis terhadap program Persidangan Wanita Islam Antarabangsa (PERWANIS) 2016 anjuran Wanita Isma baru-baru ini.
“Mereka memperjuangkan agenda yang saling bercanggah, menghina ajaran Islam dan memperkecilkan gerakan Islam yang ingin mengembalikan jati diri wanita Islam ke taraf kemuliaan yang selayaknya mengikut syariat Allah SWT,” katanya.
Justeru, isu-isu seperti hak wanita bekerjaya, kesamarataan jantina dan pelbagai isu lagi sengaja diangkat oleh kumpulan feminis secara selektif menggunakan dalil syariah terpilih serta dipenuhi emosi dan hawa nafsu yang tidak berasas.
“Walaupun golongan feminis ini tidak ramai, tetapi kelicikan strategi, sokongan kuasa luar dan kejahilan umat Islam secara umumnya bakal melebarkan lagi pengaruh mereka,” jelasnya.
Ketua Pemuda Isma menyarankan agar badan agama, kerajaan dan institusi kemasyarakatan memainkan peranan aktif menyekat ideologi sesat feminisme ini selain memberikan kesedaran Islam sebenar kepada setiap lapisan masyarakat.
“Seruan Pemuda Isma ini tidak sesekali menafikan keperluan untuk berbuat baik dan berdakwah kepada golongan feminis ini,” katanya lagi.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan