KENYATAAN RASMI PEMUDA ISMA BERKAITAN GOLONGAN FEMINIS DI MALAYSIA
1. Pemuda Isma berasa amat terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan setelah mendengar pelbagai komen negatif dan tuduhan melulu penuh emosi golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai feminis pasca program PERWANIS anjuran Wanita Isma yang telah berlangsung dengan penuh kejayaan dan impak positif.
2) Setiap umat Islam lelaki dan wanita perlulah kembali kepada ajaran asas Islam yang sebenar supaya tidak mudah terpengaruh terhadap nilai-nilai jahiliah yang dipaksakan oleh musuh-musuh Islam terhadap umat dan negara Islam dengan sangat agresif.
3) Kegagalan memahami konsep yang sangat asas dalam Islamlah yang melahirkan golongan feminis dengan neraca pemikiran, penampilan dan pembawaan diri serta kenyataan yang mengelirukan, sesat dan langsung tidak berasas.
4) Mereka memperjuangkan agenda yang saling bercanggah, menghina ajaran Islam, berkiblatkan budaya Barat yang rosak serta turut memperkecilkan gerakan Islam yang ingin mengembalikan jatidiri wanita Islam ke taraf kemuliaan yang selayaknya mengikut syariat Allah.
5) Isu-isu seperti hak wanita berkerjaya, kesamarataan jantina, poligami, perkahwinan bawah umur, perceraian dan hak penjagaan anak serta banyak isu lain dikupas secara selektif, tidak jujur, menggunakan dalil syariah terpilih serta dipenuhi emosi dan hawa nafsu tidak berasas.
6) Walaupun bilangan mereka tidak ramai, namun kelicikan strategi, sokongan kuasa luar dan kejahilan umat Islam umum bakal menyaksikan pengaruh golongan feminist ini melebar.
7) Oleh itu, badan autoriti agama, kerajaan dan institusi kemasyarakatan haruslah memainkan peranan aktif menyekat ideologi sesat feminisme ini selain memberikan kesedaran Islam sebenar kepada setiap lapisan masyarakat.
8) Seruan Pemuda Isma ini tidak sesekali menafikan keperluan untuk menyantuni dan berdakwah kepada golongan feminis ini. Moga Allah memberi hidayah kepada mereka atas sebab usaha murni dakwah kita semua. Ameen
PEMUDA ISMA
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan