Shafie Apdal bimbang urus tadbir 1MDB diketuai Najib, bukan jemaah menteri

shafie-apdal1

Oleh Athirah Huda Zalhe

JITRA, Jumaat – Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal meluahkan kebimbangannya terhadap pihak yang berkuasa dalam urus tadbir syarikat pelaburan negara bermasalah, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kata beliau, kuasa urus tadbir 1MDB menurut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail bukan daripada kalangan jemaah menteri Malaysia.

“Ada empat peringkat yang berkuasa dalam mengurus tadbir 1MDB…yang pertama Perdana Menteri, kedua
Menteri Kewangan, ketiga Pengerusi Penasihat 1MDB dan keempat Lembaga Pengarah 1MDB.

“Takkan benda ini kita tak tahu… Takkan benda ini kita tak pantau… Membabitkan hutang negara RM40 bilion lebih… itu yang membimbangkan saya selaku ahli parti, selaku rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Bicara Isu Semasa Selamatkan Malaysia di sini, malam tadi.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut menegaskan bahawa tegurannya terhadap Presiden UMNO bukan bermakna tidak setia kepada parti itu.

Malah katanya, kesetiaan ahli parti adalah menyatakan kebenaran bukan sebaliknya yang menyokong secara membuta tuli terhadap kepimpinan tertinggi UMNO.

“Kesetiaan kita adalah menyatakan kebenaran, bukan hanya ‘yes bos’ sahaja untuk dapatkan jawatan.

“Saya maklumkan kepada PM, saya tidak kisah hilang bos saya, tapi yang saya bimbang ialah hilang kerajaan kerana Sabah sudah empat kali menukar kerajaan,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, budaya yang berlaku dalam UMNO hari ini dilihat semakin membimbangkan dan berbeza dengan era pemerintahan parti pada ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad.

Walaupun Tun Dr Mahathir menerima kritikan dan penentangan oleh Tengku Razaleigh Hamzah namun Shafie berkata, Ku Li tidak dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

“Sekarang tak, bila ditegur.. gantung. Apa salah Muhyiddin seorang Timbalan Presiden parti dan Timbalan Perdana Menteri yang pernah menjadi pengarah 17 pilihan raya kecil, kita menang.

“Kenapa dikata beliau tidak bantu presiden? Macam mana nak bantu presiden? Masa ada jawatan dia bantu, bila hilang jawatan sebagai Timbalan Presiden, nak berucap dalam perhimpunan pun tak boleh.

“Nak pengerusikan jawatankuasa pusat pun tak boleh, ikat kaki tutup mulut nak bantu presiden, macam mana nak bantu presiden. Lepas itu gantung,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?