Wahabi bukan ajaran sesat, kata Asyraf Wajdi di Dewan Negara

ASYRAF WAJDI DUSUKI / SEMINAR SOGOC II

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, Jumaat – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Asyraf Wajdi berkata, fahaman Wahabi bukan ajaran sesat sebaliknya kumpulan itu sebahagian daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Perkara itu ditegaskan beliau menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook miliknya semalam berhubung isu fahaman Wahabi yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Dewan Negara di Parlimen.

“Pagi ini dua kali saya bangun untuk menjawab soalan-soalan ahli-ahli Dewan Negara di Parlimen.

“Salah satu soalan yang dibangkitkan ialah status fahaman Wahabi yang didakwa sebagai ajaran sesat,” katanya.

Beliau mengakui, isu fahaman Wahabi ini sudah beberapa kali dibangkitkan di Parlimen, malah sering menjadi polemik dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah membincangkan perkara ini beberapa kali, iaitu pada kali ke-12 (1985), kali ke-14 (1985), kali ke-16 (1986), kali ke-40 (1996), kali ke-42 (1997) dan kali ke-44 (1998).

“Ia juga dibincangkan dalam Mesyuarat Panel Kajian Akidah JAKIM pada kali ke 14 (2000), kali ke-20 (2002), dan kali ke-23 (2003) dengan memutuskan bahawa kumpulan Wahabi adalah sebahagian daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Bagaimanapun katanya, kerajaan mengambil berat dan prihatin terhadap masalah-masalah cabang dalam agama (furu’iyah) yang sering dikaitkan dengan fahaman pegangan ini supaya tidak menjejaskan perpaduan masyarakat Islam di Malaysia.

“Yang penting, janganlah kita terlalu taksub dan fanatik dengan satu pandangan dan pendapat hingga menjerumuskan kita membid’ahkan, menyesatkan hatta mengkafirkan sesama Islam hanya kerana berbeza pandangan dalam masalah cabang dalam agama.

“Sudah tiba masanya umat melakukan anjakan paradigma dan pendewasaan budaya fikir dengan sentiasa berpegang kepada nilai tasaamuh dan prinsip bersetuju untuk tidak bersetuju,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?