7 keping gambar saat menakutkan kapal pelarian karam
TRIPOLI, Jumaat – Kira-kira 562 pelarian dari negara Timur Tengah, khususnya Syria dan Libya, berdepan saat mencemaskan dan menakutkan apabila bot yang penuh sesak mulai karam sedikit demi sedikit di Laut Mediterranean, semalam.
Gambar yang dirakamkan dari kapal Tentera Laut Itali yang cuba menghampiri menunjukkan bot berkenaan mula senget ke kiri menyebabkan ada penumpang jatuh ke laut.
Sesetengah yang lain pula mula memanjat ke tempat tinggi sambil ada antaranya berpaut pada rakan bagi mengelakkan jatuh ke laut, namun sudah terlewat apabila bot yang terlebih muatan itu mula karam.
Saat bot berkenaan mula tenggelam di sebelah kiri, mereka yang telah jatuh ke dalam laut berada dalam bahaya dan mula berenang menjauhi bot itu.
Tiada apa yang dapat menghalangnya, bot itu kemudian karam di luar pantai Libya, bersama pelarian yang masih berada di atasnya.
Anggota Tentera Laut Itali mula melemparkan jaket dan pelampung keselamatan kepada pelarian terbabit sebelum diselamatkan.
Akhirnya 562 pelarian diselamatkan, tetapi lima daripadanya lemas. Tentera Itali turut menggunakan perahu dan helikopter dalam usaha menyelamat itu.
Pelarian terbabit dikatakan bertolak dari pantai Libya menggadai nyawa menuju ke Itali dan Eropah dengan menyeberangi Laut Mediterranean.
Menurut laporan Pertubuhan Antarabangsa Mengenai Pelarian yang berpejabat di Rom, kira-kira 2,700 pelarian dan pendatang diselamatkan sejak beberapa hari lalu.
Tahun lalu, 3,700 pelarian mati lemas ketika menyeberangi Laut Mediterranean menuju ke Eropah.
Sejak Januari hingga bulan ini, 1,370 pelarian mati lemas, turun 24 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan