Deklarasi Rakyat: Polis akan panggil pengatur cara komputer bantu siasatan

image

KUALA TERENGGANU, Isnin – Polis akan memanggil pengatur cara komputer bebas, Azharuddin Othman, 30, yang dipercayai terlibat menjual lebih sejuta maklumat pangkalan data penduduk negara bagi tujuan memalsukan tandatangan dalam ‘Deklarasi Rakyat’.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dan mendapatkan butiran terperinci berhubung perkara itu dalam masa terdekat.

“Kami akan memanggil individu itu dalam masa dua atau tiga hari lagi bagi membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan dan siasatan menyeluruh akan dilaksanakan.

“Selain itu, kami juga akan meneliti terlebih dahulu jenis maklumat yang disebarkan sebelum tindakan lanjut dilakukan,” katanya selepas Majlis Penutup Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana individu yang didapati menyebar dan menjual maklumat yang terkandung pangkalan data penduduk negara dan tindakan undang-undang boleh dikenakan.

“Maklumat yang terkandung dalam data berkenaan adalah maklumat yang diklasifikasikan sebagai sulit dan hanya orang yang berhak sahaja mempunyai capaian akses kepada maklumat itu.

“Jika maklumat itu sulit, ia tidak berhak untuk disebarkan kepada mana-mana pihak dan ia telah melakukan kesalahan serta melanggar peraturan dan boleh diambil tindakan mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA),” katanya.

Khamis lalu, Azharuddin mendakwa lebih sejuta maklumat pangkalan data digunakan bagi tujuan memalsukan tandatangan dalam ‘Deklarasi Rakyat’.

Azharuddin, dalam akuan bersumpahnya mengaku membekalkan data yang diperlukan kepada Syarul Ema Rena untuk bayaran RM5,000 yang dijanjikan kepadanya.

Dia mendakwa, selepas semuanya selesai, dia hanya menerima RM1,000 sahaja dan sehingga kini belum mendapat baki bayaran yang dijanjikan.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, Deklarasi Rakyat telah berjaya mengumpulkan sebanyak 1.3 juta tandatangan.

Beliau berkata, gerakan itu mencapai sasaran hanya dalam masa dua bulan walaupun tempoh yang diberikan adalah sehingga akhir tahun ini.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian