Hudud: Ugut letak jawatan, pengajaran untuk Najib pilih menteri
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, Isnin – Ugutan barisan menteri bukan Islam untuk meletak jawatan sebagai tanda protes terhadap Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 sepatutnya menjadi pengajaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Bercakap perkara itu,Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Ipoh, Ustaz Zamri Hashim berkata, Najib perlu lebih berhati-hati melantik barisan menteri.
“Sepatutnya menteri-menteri ini memiliki dan menghayati rukun negara kesetiaan kepada Raja dan Negara.
“Apatah lagi Islam secara jelas disebut sebagai agama negara. Jadi mereka perlu akur dengan apa sahaja keputusan untuk umat Islam di negara ini.
“Tak perlu nak ugut, bahkan jika perlu bahas sahaja di Parlimen akan datang,” katanya kepada Ismaweb.
Beliau bekata demikian sebagai respon kepada kenyataan beberapa menteri yang mengugut akan meletakkan jawatanyang dipegang sekiranya RUU yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diluluskan.
Ini termasuk Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC (Menteri Kesihatan) Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Presiden Gerakan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Mah Siew Keong.
Bagaimanapun sebelum ini, Najib berkata RUU yang dibawa Presiden PAS itu bukan pindaan pelaksanaan hudud sebaliknya, usul itu untuk memperkasakan Akta Mahkamah Syariah dan menyentuh isu hukuman ke atas umat Islam saja.
“Ada salah faham yang besar bahawa bila Tuan Haji Hadi bawa RUU Persendirian itu, mereka pandang bahawa dia bawa undang-undang hudud.
“Abdul Hadi sering dilabel dan dikaitkan dengan hudud. Bila dia bangkit (bawa usul) saja, dianggap hudud. Pindaan tersebut bukan undang-undang hudud,” kata Najib.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan