I-Peguam menyokong memorandum bantahan perlantikan Edmund Bon
Berikutan perlantikan Edmund Bon Tai Soon, seorang ahli Majlis Peguam dan pejuang tegar hak asasi manusia di Malaysia, selaku wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN berhubung Hak Asasi Manusia (AICHR), I-Peguam dengan ini menyatakan rasa dukacita dan mempertikaikan perlantikan tersebut serta menyokong Memorandum Bantahan yang dikemukakan oleh 43 NGO kepada Setiausaha Sulit Perdana Menteri.
I-Peguam berpendapat bahawa perlantikan tersebut tidak mengambil kira pendirian dan perjuangan liberal yang dibawa oleh beliau sepanjang berkecimpung dalam bidang perundangan dan hak asasi manusia serta mengabaikan kenyataan-kenyataan beliau yang boleh dianggap sebagai menghasut sebelum ini.
I-Peguam menyedari usaha kerajaan untuk memperjuangkan hak asasi manusia di negara ini. Namun demikian, usaha-usaha ini perlu dibuat dalam kerangka Perlembagaan Malaysia yang mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan, kedudukan Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam dan Majlis Fatwa Kebangsaan serta kedaulatan Raja-Raja.
Sebelum ini, Edmond Bon pernah mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasutan terhadap institusi agama Islam dan Raja-Raja melalui satu artikel yang diterbitkan oleh The Malaysian Insider pada 22 Januari 2014. Dalam artikel tersebut, beliau mempertikaikan titah Yang Di-Pertuan Agong yang menyebut tentang fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa perkataan-perkataan tertentu seperti kalimah Allah adalah ekslusif bagi umat Islam dan orang bukan Islam tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan kalimah tersebut. Beliau juga menyebut bahawa fatwa-fatwa yang dikeluarkan tidak terpakai ke atas orang bukan Islam. Terdahulu, umat Islam di Malaysia turut menyatakan bantahan terhadap tuntutan COMANGO yang bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.
Sehubungan dengan itu, I-Peguam menggesa agar pihak kerajaan mempertimbangkan semula perlantikan Edmund Bon serta meletakkan kerangka Raja Berperlembagaan sebagai satu keutamaan. Pendirian tegas serta perjuangan beliau ke atas kebebasan mutlak serta hak asasi manusia dikhuatiri membawa kesan yang negatif terhadap usaha mempertahankan kedudukan Islam serta institusi Beraja yang saban hari dipersoalkan.
Negara tidak kerugian sekiranya jawatan ini disandang oleh tokoh lain yang lebih berwibawa, yang menjunjung dan menghormati tunjang Perlembagaan serta tidak terpalit dengan mana-mana ideologi yang bercanggah dengan kepentingan umum dan Islam sebagai agama Persekutuan.
Mohd Luttfi Abdul Khalid
Pengerusi i-Peguam
Ulasan
Catat Ulasan