Imam, masyarakat bertanggungjawab kenal pasti umat Islam tak solat Jumaat

sholat-jumat-1024x768

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, Selasa – Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) menggesa imam masjid supaya bertanggungjawab dalam memastikan dan mengenal pasti anak kariah masing-masing yang tidak menunaikan solat Jumaat.

Jurucakap Bahagian Penguatkuasaan JAIK berkata, kerjasama yang kurang diberikan oleh masyarakat di negeri itu menyukarkan jabatan itu untuk mengenal pasti dan menangkap umat Islam yang meninggalkan solat Jumaat selama tiga kali berturut-turut.

Malah katanya, setakat Disember tahun lalu sahaja, penangkapan ke atas individu yang melanggar Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 itu kurang daripada 10 kes.

“Nak tangkap individu yang tidak menunaikan solat Jumaat ini bukan kita pergi ke pusat beli-belah dan tahan. Pelaksanaannya adalah kepada individu yang tinggal solat itu sebanyak tiga kali berturut-turut.

“Jadi agak susah untuk pihak kami (JAIK), sebab kita juga tidak tahu siapa yang tinggal solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut melainkan menerima aduan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.

Bagaimanapun katanya, tanggungjawab itu bukan hanya terletak kepada imam masjid malah juga masyarakat yang mengetahui ahli keluarga atau jiran terdekat melanggar undang-undang berkenaan.

“Imam juga mungkin susah untuk ingat ratusan anak kariah di masjidnya. Jadi, isteri yang lihat suaminya tidak solat, atau jiran bolehlah membuat aduan kepada JAIK. Pelaksanaan undang-undang itu masih diteruskan dan Seksyen 13 itu juga masih wujud, cuma dari sudut aduan dari masyarakat kurang,” katanya.

Jun tahun lalu, JAIK telah menguatkuasakan undang-undang terhadap umat Islam yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali berturut-turut mengikut Seksyen 13 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014.

Perkara Seksyen 13 berkenaan kegagalan menunaikan solat Jumaat itu termaktub dalam Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2014, yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri pada tahun tersebut.

Mereka yang didapati bersalah boleh disaman tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian