Kejayaan Al Jufferi bukti silat setanding sukan lain: Pemuda Isma

silat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, Khamis – Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad menyifatkan penganugerahan Olahragawan Kebangsaan kepada pesilat negara, Mohd Al Jufferi Jamari sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap sukan seni mempertahankan diri Melayu.

Katanya, kejayaan yang diukir oleh anak muda itu sekali gus memartabatkan semula seni mempertahankan diri Melayu dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan belia dan setaraf dengan sukan berprestij di negara lain..

“Silat kini bukan lagi sekadar latihan untuk menyihatkan badan di kampung dan hanya dipersembahkan dalam majlis perkahwinan.

“Anugerah ini membuktikan silat sudah mampu berdiri setanding dengan sukan berprestij negara yang lain, seperti badminton, skuasy, bina badan, hoki, bowling dan berbasikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan semua pihak dapat memberikan komitmen yang berterusan supaya seni mempertahankan diri bangsa Melayu itu dapat dikekalkan.

“Dana yang besar, pembinaan infrastruktur latihan yang lengkap, medium latihan dan pertandingan yang berprestij, jurulatih dan arkitek sukan yang berpengalaman, insentif untuk pemain dan jurulatih serta pengenalan peringkat sekolah rendah lagi perlu diberikan perhatian khusus demi mengangkat semula kualiti serta prestij sukan silat.

“Ia sangat penting kerana sejarah telah membuktikan, silat adalah disiplin latihan dan ilmu yang mapan untuk membentuk sahsiah, keyakinan diri, pemikiran kreatif dan kritis, disiplin peribadi serta kerjasama pasukan yang erat,” katanya.

Anak kelahiran Pahang itu cemerlang mengharumkan nama negara setelah menang emas Kejuaraan Silat Dunia Kelas Putra E, malah turut mempertahankan pingat emas di Kejuaraan Silat Terbuka Belgium.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian