Ketua perunding pembangkang Syria letak jawatan
BEIRUT, Isnin – Ketua perunding kumpulan pembangkang utama Syria, Mohammed Alloush mengumumkan peletakan jawatan beliau, semalam.
Keputusan peletakan jawatan itu dibuat susulan kegagalan rundingan damai yang diusahakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan konflik di negara itu.
Alloush yang merupakan Jawatankuasa Rundingan Tinggi (HNC) berkata, rundingan itu tidak membawa perjanjian politik atau mengurangkan kesengsaraan nasib rakyat Syria di kawasan yang dikepung.
“Ketiga-tiga pusingan rundingan tidak berjaya kerana kedegilan rejim dan keganasan serta pencerobohan terhadap rakyat Syria,” kata Alloush.
Selama berbulan-bulan HNC telah menyatakan kekecewaan pihaknya terhadap rundingan Geneva.
Ia kecewa kerana kurangnya bantuan kemanusiaan yang sampai di kawasan yang dikepung, seterusnya kelewatan melepaskan tahanan politik dan ketiadaan pergerakan ke arah peralihan politik di Syria tanpa Presiden, Bashar al-Assad.
Lebih daripada 250,000 orang Syria telah terbunuh dan kira-kira 11 juta orang telah dipaksa keluar dari rumah mereka semasa perang saudara yang bermula dengan pemberontakan terhadap Assad lima tahun lalu. – Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan