Majlis Dakwah Negara tubuh Sekretariat Perpaduan Ummah

mahmood_zuhdi
KUALA LUMPUR, Selasa – Majlis Dakwah Negara (MDN) menubuhkan Sekretariat Perpaduan Ummah, yang dianggotai tokoh-tokoh berwibawa dalam pelbagai bidang, bagi memperkukuhkan agenda perpaduan ummah.

Pengerusi MDN, Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid berkata, selaras dengan penubuhan sekretariat berkenaan, MDN melantik 70 anggota Panel Perunding Perpaduan Ummah.

Katanya, panel itu berperanan sebagai pengantara antara rakyat di akar umbi dengan pemimpin atasan negara serta parti-parti politik dalam mengemukakan kaedah ke arah mewujudkan iklim perpaduan ummah negara.

“Mereka juga akan menyusun dan merancang siri-siri kunjungan hormat dengan pihak berkepentingan bagi menyatakan kebimbangan terhadap masalah perpecahan masyarakat Islam Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara yang dilantik sebagai anggota panel itu ialah bekas Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang, bekas Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan dan bekas Pengarah Urusan Malaysian Airline System Bhd (MAS) Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Dr Mahmood berkata, penubuhan sekretariat itu sejajar dengan perkara yang terkandung di dalam resolusi Multaqa Perpaduan Ummah, yang antara lain menekankan langkah-langkah bagi memacu perpaduan ummah.

Beliau berkata, pihak MDN juga akan melaksanakan program jelajah ke seluruh negara bagi menjelaskan isu perpaduan kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

“Program berkenaan akan turut disertai para pendakwah terkemuka tanah air,” katanya. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian