MPK rampas 239 botol minuman keras di dua premis di Klang

11060253_1181331801897566_7552404975627949614_n-660x510

KLANG, Selasa – Majlis Perbandaran Klang (MPK) merampas sebanyak 239 botol minuman keras pelbagai jenis dalam serbuan di dua premis di daerah ini pada Jumaat dan Sabtu lepas.

Yang Dipertuanya, Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata serbuan dilakukan anggota penguatkuasa di sebuah premis serbaneka di Bukit Tinggi pada Jumaat dan sebuah kedai mempunyai lesen Pasar Mini daripada MPK di Jalan Pekan Baru, Meru, pada Sabtu, yang sememangnya menjadi lokasi tumpuan ‘kaki botol’ di sekitar kawasan itu.

“Bagi serbuan pertama di kedai di Bukit Tinggi, kami merampas 159 botol minuman keras manakala serbuan di kedai di Meru, kami rampas 80 botol minuman keras.

Rampasan di kedua-dua premis ini dibuat dalam usaha mengekang aktiviti penjualan barangan itu secara haram di sini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Yasid berkata, kedua-dua kedai berkenaan diberikan kompaun dan tempoh sebulan untuk menuntut balik barang rampasan daripada MPK dengan syarat mereka mempunyai lesen serta dokumentasi yang lengkap.

Menurutnya, jika dalam tempoh itu mereka gagal, MPK akan mengambil tindakan melupuskan barangan yang dirampas.

“Mengikut Undang-undang Kecil, pesalah boleh dikenakan kompaun berjumlah RM1,000, dan jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak lebih RM2,000,” katanya.

Beliau berkata operasi tersebut dilakukan susulan aduan orang ramai yang mendakwa botol-botol minuman keras dibuang merata-rata sehingga membahayakan keselamatan mereka.

Sehubungan itu, Mohamad Yasid berkata pihaknya terus mengambil tindakan sedemikian kerana khuatir lebih banyak kedai yang menjual minuman keras tanpa lesen berkembang di kawasan itu sekali gus menyumbang kepada gejala sosial seperti gangguan kepada kanak-kanak dan wanita oleh individu yang ‘tegar’ meminum arak di kawasan berkenaan.

Beliau dalam pada itu berkata, sehingga Mei tahun ini, sebanyak 10 premis telah diperiksa dan 1,124 botol minuman keras pelbagai jenis telah disita oleh operasi yang diselaraskan oleh Jabatan Penguatkuasa MPK bersama jabatan-jabatan lain. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?