RUU Hudud: Dua menteri ugut letak jawatan

ugut letak jawatan
BANGI, Ahad – Presiden MCA dan Gerakan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Datuk Seri Mah Siew Keong mengugut akan meletakkan jawatan menteri yang dipegang.

Ugutan ini dilakukan tanda protes jika Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 yang dibentangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diluluskan oleh Parlimen.

Menteri Pengangkutan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu juga menyatakan kekesalan apabila usul ini tidak dibincangkan dalam BN dan mendakwa ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Jumaat lepas, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang membentang usul RUU Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Ia bertujuan meminda Seksyen 2 bagi menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada iaitu Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas umat Islam dan dalam hal-hal kesalahan di dalam perkara yang disenaraikan di butiran 1 Senarai Negeri, mengikut jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.

Ia juga bagi memasukkan Seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah mengikut Seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan mengikut seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.

Perdana Menteri dan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dalam responnya sebelum ini berkata, Abdul Hadi hanya membentangkan RUU Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016 bagi meningkatkan hukuman sedia ada.

“Ada salah faham yang besar bahawa bila Tuan Haji Hadi bawa RUU Persendirian itu, mereka pandang bahawa dia bawa undang-undang hudud.

“Abdul Hadi sering dilabel dan dikaitkan dengan hudud. Bila dia bangkit (bawa usul) saja, dianggap hudud. Pindaan tersebut bukan undang-undang hudud,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian