‘Siapa dominan tarik undi Melayu dia akan menang’: Tuan Ibrahim
KUALA LUMPUR, Jumaat – Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menjangkakan parti yang berjaya menarik undi Melayu sudah pasti akan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Ramalan itu katanya, adalah berdasarkan jangkaan bahawa pengundi Cina tidak akan turun mengundi dalam kedua-dua PRK berkenaan.
“Undi Melayu dijangka menjadi penentu kemenangan parti yang bertanding. Pembangkang memang susah nak menang sebab BN akan turun habis-habisan. Tetapi, peluang itu masih ada walaupun tiga penjuru.
“Kalau pengundi Cina tak undi PAS, undi mereka akan kosong. Jadi kita bergantung kepada undi Melayu, siapa yang lebih dominan untuk tarik undi Melayu dia akan menang.
“Maka, perlawanan nanti agak kuat dan sukar diramal,” katanya sebagaimana dilapor Sinar Harian.
Mengulas lanjut beliau berkata, pola pengundian dalam beberapa PRK yang lalu jelas menyaksikan penurunan undi masyarakat Cina.
“Ia mungkin disebabkan sikap orang Cina yang beranggapan PRK tidak akan membawa perubahan besar.
“Dalam kalangan pengundi Cina, kalau tukar kerajaan mereka sanggup. Kalau mereka turun undi dalam PRK pun, mereka tak berani undi pembangkang.
“Ini pola standard mereka, bukannya sebab perpecahan pembangkang atau faktor calon. Yang tak undi calon itu ialah pengundi Cina,” katanya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan