Sijil audit bersih bukti tuduhan negatif terhadap Tabung Haji tidak berasas

KANGAR 25 MAY 2016. (KGM229F) Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji (TH), Datuk Adi Azuan Abdul Ghani di Majlis Penyerahan Sumbangan Zakat Program Ehsan TH 2016 yang diadakan di Hotel Putra Regency. NSTP/EIZAIRI SHAMSUDIN

KANGAR, Khamis – Pengeluaran Sijil Bersih oleh Jabatan Audit Negara terhadap Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) membuktikan bahawa segala tuduhan terhadap institusi berkenaan sebelum ini adalah tidak berasas.

Ketua Pegawai Operasinya, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani berkata, tuduhan yang dilemparkan antaranya seperti Tabung Haji bakal mengalami kerugian dan wang pendeposit akan turut hilang ternyata tidak benar.

“Sehingga kini keyakinan umat Islam terhadap Tabung Haji tidak terjejas kerana bilangan mereka yang mengeluarkan simpanan itu kecil berbanding keseluruhan pendeposit iaitu 8.8 juta orang.

“Malah, Tabung Haji terus mencatat keuntungan paling tinggi dalam sejarah penubuhannya dengan memberi bonus simpanan sebanyak lima peratus dan bonus haji, tiga peratus untuk 2015,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Sumbangan Zakat Program Ihsan Tabung Haji 2016 Peringkat Negeri di sini, semalam.

Menurutnya, Tabung Haji akan terus fokus pada objektif penubuhannya iaitu membantu rakyat negara ini menunaikan haji.

“Ini termasuk dengan pengenalan bonus haji sejak beberapa tahun lalu. Bonus haji itu bertujuan membantu menambah simpanan kepada seramai 7.7 juta pendeposit yang belum menunaikan ibadat itu dari kalangan kurang berkemampuan,” katanya.

Dalam masa yang sama, Adi Azuan memaklumkan bahawa Tabung Haji bersedia menerima semula kira-kira 3,000 pendeposit yang mengeluarkan simpanan mereka sebelum ini ekoran terpedaya dengan tohmahan terhadap institusi berkenaan.

“Kita terima untuk buka akaun dalam Tabung Haji tetapi mereka perlu memasuki senarai menunggu 82 tahun kerana pendaftaran haji sebelum ini telah terbatal.

“Mungkin ada yang tinggal 20 tahun atau 40 tahun lagi untuk menunaikan haji tetapi Tabung Haji menggunakan pendekatan ‘siapa cepat akan didahulukan’,” katanya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?