UTP jimat RM15 juta menerusi kerjasama dengan Celcom
Sumber foto: Bernama
KUALA LUMPUR, Isnin – Universiti Teknologi Petronas (UTP) akan dapat berjimat sehingga RM15 juta dalam tempoh lima tahun menerusi kerjasama strategik dengan Celcom Axiata Bhd untuk menawarkan perkhidmatan sambungan data kepada pelajarnya.
Naib Canselor UTP, Datuk Dr Ir Abdul Rahim Hashim berkata di bawah kerjasama itu, Celcom membangunkan prasarana tanpa wayar di persekitaran universiti tersebut di Tronoh, Perak.
“Prasarana itu dibangunkan pada kos pelaksanaan sifar oleh Celcom,” katanya kepada pemberita selepas permeteraian memorandum persefahaman di sini, hari ini.
Celcom menempatkan 600 pusat akses WiFi meliputi kawasan dalam bangunan dan luar bangunan dalam UTP untuk menyediakan sambungan data tanpa had setiap hari kepada 8,000 pelajar dan 900 kakitangan UTP.
Di bawah kerjasama itu, komuniti UTP akan menikmati perkhidmatan internet premium, yang hanya di dapati di UTP, daripada pelan data pelbagai internet Celcom yang menawarkan minimum 22.5 gigabait data sebulan.
“Teknologi rangkaian tanpa wayar memberi kesan positif bagi pendidikan, pembelajaran, usaha penyelidikan dan pentadbiran, dan telah maju ke tahap yang kita sudah tidak lagi boleh mengabaikan kemajuan teknologi ini,” kata Abdul Rahim.
Pada masa depan, Abdul Rahim berkata UTP dan Celcom Axiata akan bekerjasama dalam pelbagai inisiatif utama ke arah pembangunan pelajar UTP.
Inisiatif itu termasuklah program latihan amali dan peluang kerjaya dengan Celcom atau Axiata Group Bhd, serta penyertaan pelajar UTP dalam program keusahawanan yang dibangunkan oleh Celcom dan rakan kongsinya.
Abdul Rahim berkata Celcom akan menjadi ahli Panel Penasihat Industri UTP, dengan syarikat itu diberikan peluang untuk berkongsi idea mengenai telekomunikasi dan mengendalikan aktiviti kepimpinan.
Celcom juga akan menimbang kemungkinan menaja kerusi profesor di UTP, katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Datuk Seri Shazalli Ramly berkata prasarana di UTP dibangunkan menggunakan kuantum perbelanjaan modalnya sebanyak RM1.2 bilion, tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai pelaburan itu.
“Tronoh mungkin bukan menjadi keutamaan bagi mana-mana syarikat telekomunikasi kerana ia terletak di luar kawasan bandar utama.
“Dengan memorandum persefahaman ini, kami menjadikan bandar Tronoh sebagai sebahagian daripada program kawasan bandar utama kami, yang bermakna ia menikmati perkhidmatan 4.5G yang berkualiti baik,” kata Shazalli. – Bernama
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan