Waspada berkomunikasi dengan ‘orang asing’
KUALA TERENGGANU, 31 Mei – “Waspada bila berkomunikasi dengan orang asing. Kita tak tahu dengan siapa sebenarnya kita sedang berhubung,”kata Sarah Najihah binti Jaafar, pelajar tingkatan lima SMK Chendering, Kuala Terengganu apabila ditemuramah selepas kempen ‘Say No To Zina’ anjuran bersama Kelab Remaja Isma (KRIM) dan Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (I-Medik) baru-baru ini.
“Selain menerangkan hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan, kita juga mendedahkan kepada para pelajar dan guru berkenaan bahaya penggunaan telefon pintar yang tidak terkawal,” ujar Ustaz Ramadhan Awang, pengarah KRIM Kuala Terengganu yang merupakan salah seorang penceramah untuk kempen tersebut.
“Ada aplikasi yang membolehkan pengguna bersembang dengan sesiapa sahaja dalam radius lima kilometer, walaupun tanpa mengetahui nombor telefon orang tersebut. Aplikasi ini mendedahkan remaja kepada bahaya kerana sememangnya sifat remaja suka mencuba dan mereka juga mempunyai rasa ingin tahu yang tinggi.
“Oleh itu, melalui kempen ini, kami beri kesedaran kepada para remaja tentang bahaya yang menunggu di luar sana sekiranya mereka tidak berhati-hati. Juga kesedaran kepada guru-guru supaya dapat sampaikan maklumat-maklumat ini kepada ibu bapa pelajar. Sudah banyak kes rogol yang berlaku berpunca daripada aplikasi seperti ini.”
Kempen ‘Say No To Zina’ merupakan salah satu kempen yang digerakkan KRIM untuk membantu remaja membina jati diri mereka sebagai persediaan untuk menghadapi masa depan yang lebih terbuka dan mencabar. Dengan kerjasama I-Medik, kempen ini turut memberi pendedahkan kepada remaja tentang ancaman penyakit-penyakit yang berjangkit melalui aktiviti seksual yang tidak terkawal.
Kempen ini sudah berlangsung di tiga buah sekolah menengah di sekitar Kuala Terengganu. Mana-mana sekolah yang berminat untuk menganjurkan kempen ini boleh menghubungi Ustaz Ramadhan di talian 019-2548666.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan