3 aktiviti ringkas dalam kereta buatkan anak anda lebih bijak

Daughter-and-father-love-beautiful-wallpaper

“Kakak, cepat ambik bedak. Lambat dah ni,” gesa saya kepada puteri comel saya yang sedang bersiap untuk ke sekolah.

“Kakak tak jumpa bedak tu. Tadi ada kat situ tapi kakak cari dah takde. Kakak rasa ummi dah bawak  pegi kerja”, gomelnya dengan ‘slang’ budak 5 tahun yang banyak sangat cakap.

“Bila pulak lah ummi bawak bedak pegi kerja kakak oi…, ni ha ada je kat depan ni. Kakak tak cari elok-elok”, balas saya sambil meletakkankan bedak ke tapak tangan.

Setepek bedak saya sapu ke mukanya. Dah macam tepung Gomak pulak rupanya.

“Tadi kakak nampak, lepas tu kakak dah tak nampak. Nih..tengok mata kakak ni.. Dah merah dah. Kena sabun tadi. Walid buat. Sebab tu kakak tak nampak bedak”, balasnya mempertahankan diri.

Memang biasa perang pagi-pagi waktu nak pergi sekolah. Puteri sulong saya ni banyak celoteh. Kadang-kadang saya selalu terdiam bila dengar ayat-ayat yang tak terjangka keluar dari mulutnya.

Sahabat,
Cuba fokus kat cari bedak tak jumpa. Biasa tak anak kita jadi macam ni? Takde?

Tahniah..itu bermakna anak kita telah menguasai kemahiran asas untuk belajar iaitu melihat untuk mencari atau mendapatkan maklumat. Ya sahabat. Bukan tengok saja-saja. Tapi tengok, proses dan mengeluarkan semula maklumat tersebut.

Kalau ada pulak macamana. Syabas sahabat. Kita geng. Inilah peluang kita untuk memainkan peranan sebagai ibu bapa mithali yang menjalankan tanggungjawab mendidik anak dengan baik.

Saya faham realiti kehidupan hari ini membuatkan ramai dikalangan kita amat sibuk hinggakan kita tidak punya banyak masa bersama dengan anak-anak. Apatah lagi untuk meluangkan masa berjam-jam memantau kerja sekolah anak-anak demi untuk memastikan mereka dapat menguasai pembelajaran dengan baik di sekolah. 

Saya kongsikan disini beberapa aktiviti ringkas yang boleh dijalankan oleh ibu bapa sewaktu memandu bersama anak-anak.

1. Cari benda tersembunyi.
=======================
Mulakan dengan sesuatu yang mudah untuk di cari.
Contohnya,
“ Cuba kakak tunjuk kereta warna merah.”
“ Cepat kakak, mana lori warna merah?”

Kemudian tambah aras kesukaran kepada sesuatu yang lebih kecil.
Sebagai contoh,
“ Kakak cari mana huruf H“. Mungkin merujuk kepada huruf H pada stereng kereta atau pada kereta di hadapan.
“ Kakak cuba cari mana nombor 7”. Mungkin merujuk kepada nombor 7 pada paparan skrin radio kereta.

Kemudian tambahkan aras kesukaran pada benda yang bergerak atau tidak bergerak seperti papan tanda jalan.
Contohnya,
“ Kakak cari mana gambar kapalterbang”. Merujuk kepada gambar kapal terbang pada papan tanda iklan MAS di tepi jalan.

Ini adalah permainan paling ringkas dan menyeronokkan untuk anak-anak. Dalam masa yang sama ianya melatih anak-anak kemahiran melihat untuk mendapatkan maklumat. Selalu kita dengar ibu bapa mengeluh bila meminta anak cari barang, tapi barang tak jumpa. Bila kita cari, barang tu ada betul-betul depan dia tapi dia tak nampak. Ini perkara biasa untuk kanak-kanak berusia 5-7 tahun.

Cuma hakikat yang agak mengerikan ialah kemahiran melihat untuk mencari maklumat ini adalah amat penting untuk anak-anak belajar. Bagi seorang kanak-kanak yang pintar mereka mampu melihat dan mendapatkan maklumat dengan segera.

Rileks sahabat. Jangan sentap kalau anak kita dilihat belum menguasai kemahiran ini. Ianya boleh dilatih dengan mudah. Selalukan bermain permainan ini bersama- anak- anak dalam kereta. Dengan izin Allah anda sendiri akan dapat melihat kepekaan dan kecekapan  anak anda mencari maklumat yang anda kehendaki akan bertambah.

2. Jurufoto sambilan ( Nama sukahati letak)
===================================
Biasa dalam kereta anak-anak sambar telefon bimbit kita buat main game atau tengok youtube. Jenuh marah pun dia buat. Sekarang kita cuba ubah sikit penggunaan telefon bimbit yang berada ditangannya kepada yang lebih positif.
Lebih kuang sama dengan aktiviti di atas Cuma kali ini fokus kepada benda – benda yang bergerak .
Contohya,
“ Kakak ambik gambar kereta warna hijau “.
“ Kakak ambik gambar orang naik motor”.
“Kakak ambik gambar orng naik basikal”.

Selepas gambar diambil, kita boleh meminta mereka untuk menunjukkan gambar tersebut. Sebenarnya agak sukar bagi kanak-kanak pada usia ini mendapatkan gambar yang baik. Gambar yang baik maksud saya bukanlah seperti gambar yang diambil oleh jurugambar professional ala-ala Rarindra Prakasha gitu, memadai dengan mereka berjaya merakamkan gambar penuh objek yang diminta. Bukan separuh-separuh. Sukar sebab ianya memerlukan koordinasi mata dan tangan yang baik bagi seorang kanak-kanak. Koordinasi mata dan tangan ini sangat-sangat perlu kepada anak-anak untuk membentuk kemahirannya menulis, mengendalikan alatan tangan seperti gunting, pensil dan pembaris. Lebih-lebih lagi aktiviti berat seperli berlari, bermain bola atau melompat tali.

3. Baca papan tanda jalan.
======================
Erk! Budak umur 5 tahun dah pandai baca ke? Ada yang dah pandai, ada yang baru kenal huruf dan ada yang belum boleh kenal huruf pun lagi. Tapi dia tahu tengok gambar. Budak – budak belum pandai membaca pun bila tengok symbol KFC dia tahu sebut KFC. Tengok huruf M pun tahu itu McDonald.

Ingat! Misi utama kita ialah untuk melatih kemahiran melihat, mencari dan mendapatkan maklumat. Itu yang penting. Bukan nak latih dia membaca. Kalau dah boleh baca itu ‘advantage’. Syabas untuk ibu bapa ini.

Aktiviti ini juga ringkas dan mudah. Kita minta anak-anak ini cari dan tunjuk papan tanda yang kita sebutkan dan meminta apa maklumat yang mereka boleh dapat dari papan tanda tersebut.

Contoh,
“ Kakak cuba cari papan tanda gambar kereta”.
Bila mereka dah jumpa papan tanda tersebut, tanyakan soalan yang lebih terperinci.

Contohnya,
“ Tadi kakak nampak gambar kereta tu warna apa?
Dan berikan komen terhadap jawapan mereka. Kalau betul pujilah sikit. Tak kena bayar pun.Heheh. Kalau salah?
“ Betul ke kakak Nampak kereta tu warna biru?” Lepas ni kakak cuba tengok elok-elok?. Nanti kalau ada gambar lagi walid tanya.”
Haaa..gitu.. Baru mithali jawapannya.

Sahabat,
Sekadar perkongsian dari saya yang serba kekurangan. Saya yakin sahabat semua sebagai ibu bapa yang baik sentiasa berusaha sebaik mungkin menyediakan segela keperluan yang terbaik untuk anak-anak semua. Semoga usaha kecil kita di atas dapat memberikan lebih masa-masa berkualiti bersama anak-anak seterusnya membantu mereka untuk berhadapan dengan cabaran ilmu dan pendidikan yang lebih besar. Selamat beramal sahabat semua. Paling tidak pun sahabat semua nampak tak butang share kat bawah sebelah kanan post ni. Haaa..tekan butang tu dan kongsikan aktiviti di atas kepada rakan-rakan kita yang lain. Semoga saya, kita dan mereka mampu mendidik anak-anak menjadi pintar untuk ummah.

Asmadi Abdul Samad
Bapa Super Sibuk

Pengarah Kelab Remaja Isma (KRIM)

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?