Adya Hotel akan buka hotel kedua di Langkawi, perluas jenama ke Kuala Lumpur
LANGKAWI, Jumaat – Adya Hotel, syarikat perhotelan milik penuh Kerajaan Kedah, merancang memperluaskan jenama menerusi pembukaan hotel keduanya di Langkawi serta mengambil alih sebuah hotel di Kuala Lumpur tahun ini.
Pengerusinya Nor Saidi Nanyan berkata, Adya Hotel Cenang akan menjadi hotel kedua diuruskannya selepas Adya Hotel Langkawi, yang merupakan hotel patuh syariah pertama di pulau peranginan ini.
Katanya, Adya Hotel juga dalam proses mengambil alih operasi sebuah hotel di Kuala Lumpur yang akan menjadi kemudahan penginapan ketiga di bawah pengurusannya.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci hotel berkenaan.
“Kita akan terus mengekalkan konsep Islamik (dalam pengurusan hotel-hotel baharu ini),” katanya kepada media pada majlis Iftar anjuran Adya Hotel Langkawi semalam.
Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan kejayaan hotel berkenaan memperoleh pengiktirafan Empat Bulan Sabit daripada Universal Crescent Standard Centre (UCSC), sebuah pusat piawaian peringkat dunia yang melaksanakan pembangunan Standard Kualiti Islamik (IQS).
Menurutnya, Adya Hotel Langkawi yang beroperasi sejak Januari tahun lepas mencatatkan pendapatan kira-kira RM14 juta pada akhir tahun berkenaan, melebihi sasaran awalnya sebanyak RM10 juta.
“Berikutan kejayaan ini, kita telah meletakkan sasaran untuk memperoleh pendapatan kira-kira RM17 juta tahun ini,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan hotel ini melepasi sasarannya adalah hasil komitmen penuh mereka untuk memenuhi kriteria pematuhan Syariah yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Pada awalnya memang ada masalah sedikit (untuk memenuhi kriteria Jakim) seperti dalam bekalan (untuk penyediaan makanan dan minuman). Bekalan itu (disahkan) halal tetapi pembekalnya tidak memiliki sijil halal Jakim,” katanya.
Menurutnya masalah itu selesai selepas para pembekal hotel berkenaan berjaya memperoleh persijilan halal Jakim.
Nor Saidi berkata konsep Islamik Adya Hotel Langkawi ini memberikannya kelebihan berbanding pengurusan secara konvensional, dalam menarik kalangan pelanggan bukan beragama Islam, yang mewakili kira-kira 50 peratus daripada keseluruhan pelanggan hotel itu.
“Mereka (pelanggan bukan beragama Islam) dapat membandingkan sendiri perkhidmatan kita. Konsep Islamik kita bukan semata-mata tentang halal bahkan lebih menyeluruh, mengutamakan kebersihan dan ketepatan perkhidmatan,” katanya. – Bernama
The post Adya Hotel akan buka hotel kedua di Langkawi, perluas jenama ke Kuala Lumpur appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan