Henti peruntukan, Tun M akan tetap bekerja di Yayasan Kepimpinan Perdana
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, Khamis – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan tetap bekerja di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) walaupun kerajaan mahu memberhentikan peruntukan menyewa premis termasuk membayar kakitangannya.
Tun Dr Mahathir dalam entri terbaru di blognya chedet.cc berkata, menjadi amalan di negara ini, kerajaan menyediakan pejabat dan kakitangan kepada bekas-bekas Perdana Menteri.
Malah katanya, walaupun Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman pernah bercakap di platform pembangkang dan mempunyai pendirian yang bercanggah dengan kerajaan sebelum ini, tetapi keistimewaan beliau tidak pernah dinafikan.
“Walaupun Tunku agak bercanggah dengan kerajaan dan pernah bercakap di platform pembangkang serta menyokong DAP, beliau menikmati keistimewaan itu sehingga meninggal dunia,” katanya dalam tulisan bertajuk ‘Kisah mengenai Yayasan Kepimpinan Perdana’, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, ramai penyokong yayasan sudah mula takut untuk dekat dengan beliau berikutan diganggu.
“Mereka mungkin akan berhenti menyokong YKP dan kami juga perlu menghentikan penyelidikan di perpustakaan serta arkib termasuk kempen membantu negara-negara bergolak.
“Namun, tidak mengapa. Saya hanya mahu orang ramai tahu apa Yayasan Kepimpinan Perdana,” katanya.
Menyingkap kisah disebalik penubuhan yayasan, beliau berkata, ia mula tercetus apabila seorang ahli perniagaan mencadangkan supaya membina perpustakaan untuk memperingati khidmat beliau selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri.
“Saya terharu dengan cadangan itu dan saya tahu mereka pasti akan dituduh sebagai kroni saya.
“Sepanjang saya berada dalam kerajaan, saya cuba untuk menghentikan amalan menamakan tempat-tempat awam dengan individu yang masih hidup kecuali untuk raja-raja.
“Cadangan itu dibuat ketika saya masih hidup, jadi saya menolaknya,” katanya.
Sebaliknya Dr Mahathir berkata, beliau mencadangkan supaya menubuhkan sebuah institusi bagi memperingati semua Perdana Menteri dahulu dan akan datang serta mengumpul semua dokumen yang berkaitan dengan dasar, strategi serta pelan yang dilaksanakan oleh mereka.
“Oleh itu, wujudlah Yayasan Kepimpinan Perdana,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan untuk menghentikan peruntukan dana terhadap YKP yang diterajui oleh Dr Mahathir.
The post Henti peruntukan, Tun M akan tetap bekerja di Yayasan Kepimpinan Perdana appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan