India: Butang panik dipasang dalam bas tangani keganasan seks
KOLKATA, Jumaat – India memasang butang panik dan peranti kecemasan di dalam bas di seluruh negara itu sebagai langkah menangani jenayah keganasan seksual yang pernah berlaku pada 2012 sehingga mencetuskan kutukan dan kecaman meluas antarabangsa.
Langkah itu telah diluluskan oleh Parlimen untuk menghalang keganasan seksual yang sering berlaku ke atas wanita di negara itu.
Selain itu, alat pemantauan termasuk kamera litar tertutup (cctv) dan sistem pengesan kenderaan turut dipasang di dalam bas baru, manakala bas lama akan dilengkapi dengan peranti itu secara berperingkat.
Memetik media antarabangsa, butang panik akan ditekan oleh mangsa, dan mesej kecemasan akan terus dihantar ke bilik kawalan polis, yang boleh dikesan terus oleh pihak berkuasa.
Projek perintis itu bagaimanapun sudah dijalankan di negeri Rajasthan di mana 10 bas mewah dan bas tetap telah dilengkapi dengan alat kecemasan tersebut.
Sebelum ini, kementerian komunikasi India juga mengeluarkan peraturan supaya semua telefon bimbit yang dijual di negara itu untuk memasukkan butang panik bermula 2017.- Agensi
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan