Melaka sasar kutipan RM3.6 juta zakat fitrah tahun ini

dsc_0698
MELAKA, Khamis – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) menyasarkan kutipan zakat fitrah kira-kira RM3.6 juta untuk tahun ini, kata Timbalan Pengerusinya, Datuk Yaakub Md Amin.

Beliau berkata, bagi menjalankan tanggungjawab itu MAIM telah melantik seramai 938 amil untuk mengutip zakat daripada lebih 550,000 umat Islam di negeri ini.

“Walaupun kadar bayaran zakat fitrah di negeri ini dianggap kecil iaitu RM6.70 seorang, impaknya besar bagi membantu meringankan beban orang lain yang kurang berkemampuan.

“Hasil kutipan tersebut akan MAIM agihkan kepada golongan yang berhak menerimanya seperti asnaf, fakir miskin dan saudara baru…ini sangat membantu golongan itu dalam kehidupan mereka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pentauliahan Amil Zakat Fitrah Melaka di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini, yang dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Othman Mohamad.

Tahun lepas, MAIM melalui Pusat Zakat Melaka berjaya mengutip zakat fitrah sebanyak RM3.62 juta daripada 541,062 umat Islam di negeri itu.

Yaakub berkata bagi memudahkan proses pembayaran zakat fitrah, MAIM telah melantik 14 amil zakat yang ditempatkan di kawasan tumpuan orang ramai seperti pasar raya, kawasan rekreasi dan bazar ramadan.

Selain itu, katanya, orang ramai di negeri itu boleh membuat pembayaran zakat pendapatan melalui potongan gaji secara dalam talian di laman web www.izakat.com.

“Usaha ini seiring dengan perkembangan teknologi hari ini bagi memudahkan orang Islam menjalankan tanggungjawab mereka, ia telah bermula tiga tahun lepas dan telah ditambah baik perkhidmatannya,” katanya. – Bernama

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian